Tuesday 26 January 2010

Pemuliharaan kawasan @ revitilisasi bandar: Concubine Street Ipoh

Kuliah/artikel kali ini saya akan membincangkan berkenaan pemuliharaan kawasan. Dalam bandar bukan sahaja ada bangunan tetapi pelbagai entiti yang mewajahkan sesabuah bandar. Kalau kawasan baru bukanlah sesuatu yang sukar untuk diperindahkan tetapi bagi kawasan lama dan bersejarah, kita akan 'tersekat' dengan ciri-ciri setempat (genius loci)yang terbahagi dua; pertama karektor bangunan dan corak bandar, kedua; ciri-ciri budaya yang masih utuh. Kedua-duanya merupakan identiti kukuh dari segi sejarah dan budaya kawasan. Sesuatu perlu dibuat bagi memastikan kawasan bersejarah didalam bandar terus terpelihara, bagaimana?





Pengekalan bangunan dan kawasan bersejarah didalam bandar amat penting khususnya kepada kawasan yang mempunyai potensi imej dan tarikan bandar. Bangunan dan kawasan bersejarah dapat 1) memberi pengalaman sejarah dan budaya tempat kepada pemerhati, 2) Penonjolan identiti dan menimbulkan ‘sense’ terhadap tempat dan 3)Transformasi gaya seni bina lama keatas binaan baru disekitarnya

Salah satu pendekatan pemuliharaan bandar (urban conservation) ialah ‘revitalisasi’. Agak sukar untuk mencari perkataan yang sesuai, saya menggunakan istilah yang digunakan di Indonesia. Namun maksud yang lebih jelas ialah; “revitalisasi” adalah usaha untuk menghidupkan sesebuah kawasan atau bahagian bandar yang suatu masa dulunya pernah hidup (vital) tetapi kemudiannya mengalami kemunduran.

Apa pula bezanya pemuliharaan dan revitalisasi? Pemuliharaan adalah satu proses penjagaan, perawatan dan pengekalan warisan termasuklah mengembalikan semula (restoration) dan dengan pendekatan revitalisasi, kawasan bersejarah/budaya akan menjadi lebih hidup, bermakna dengan wajah baru tanpa merubah identiti asal atau sejarah kawasan. Konsep revilisasi secara tidak lansung menolak pandangan bahawa pemuliharaan bandar dianggap sesuatu romantism masa lalu. Sebenarnya pemuliharaan kawasan/bandar merupakan satu proses perubahan kepada penjagaan alam sekitar dan ianya tidak terbatas hanya dengan maksud fizikal tetapi merangkumi kebudayaan sesebuah kawasan. Pemuliharaan merupakan suatu kaedah untuk mengolah satu bentuk transformasi fizikal dan revitalisasi kawasan. Usaha ini bertujuan untuk memberikan satu kualiti kehidupan mayarakat yang lebih baik berdasarkan kekuatan aset lama dan melaksanakan program-program yang menarik dan kreatif, berterusan serta melibatkan penyertaan masyarakat dengan mengambil kira peningkatan ekonomi kawasan.

Revitalisasi bukanlah sesuatu yang hanya berorentasikan pada keindahan fizikal sahaja tetapi mesti dilengkapi dengan peningkatan ekonomi masyarakat serta pengenalan budaya yang ada. Proses revitalisasi sesebuah kawasan mencakupi berbagai aspek fizikal, ekonomi, dan sosial budaya Pendekatan revitalisasi mestilah mampu mengenalpasti dan memanafaatkan potensi dari sumber-sumber persekitaran seperti sejarah, makna, keunikan lokasi dan imej tempat. Ia bukanlah sekadar pembaikan fizikal atau menyolek bahagian-bahagian di dalam bandar. Revitalisasi merupakan sebuah program berlanjutan mulai tahap-tahap awal sehinggalah kepada satu program jangka panjang yang melibatkan pengurusan kawasan tersebut.

Revitalisasi berkait dengan usaha untuk membangun dan menaikkan semangat masyarakat tempatan, bagi membentuk satu nadi kehidupan yang sihat, yang mampu memberikan keuntungan dari segi sosial budaya dan ekonomi masyarakatnya. Untuk itu, aplikasi dan pembangunan kawasan dengan kaedah/teknologi moden, pengurusan dan suasana kehidupan yang diciptakan dikawasan itu haruslah dari pemikiran/idea yang komprehensif. Program revitalisasi dilaksanakan dengan tujuan untuk memudarkan kemerosotan kawasan, menonjolkan imej kawasan yang terpelihara menawarkan penerokaan alam budaya dan memastikan kawasan sentiasa hidup dan berkembang maju. Dalam konteks fabric bandar (urban fabrics), antara kaedah yang boleh dilaksanakan ialah:
•Menyesuaikan rupa bangunan baru mengikut karektor bangunan lama dari segi gaya senibina dan ketinggian supaya tidak wujud kejanggalan
•Mengawal fasad atau rupa hadapan bangunan supaya tidak menutup ciri asal
•Menyesuaikan bahan binaan dengan bahan binaan yang sama dari segi bentuk, warna dan tekstur
•Merekabentuk elemen bandar seperti perabut jalan, papan tanda dan landskap bersesuaian dengan imej kawasan bersejarah
•Mengekalkan ciri-ciri setempat dan mengujudkan suasana

Saya memberi satu 'projek' untuk pelajar amati dan beri idea bagaimana untuk memulihara dan meningkatkan kawasan ini sebagai salah satu kawasan 'rangkaian sejarah', heritage trail dalam bandaraya Ipoh: Concubine Street? Apa special pada nama dan kawasan ini?

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.