Wednesday 24 March 2010

PEMULIHARAAN MASJID LAMA KAMPUNG KUALA DAL, KUALA KANGSAR PERAK.

Hari ini 24 Mac, KOSMO telah memberi liputan tentang Masjid Lama Kampung Kuala Dal. Saya agak terkejut bercampur gembira kerana baru semalam saya membentangkan kertas kerja pemuliharaan masjid ini di Simposium Warisan Budaya Perak. Belum lagi habis keterujaan dan emosi saya ketika menayangkan gambar-gambar bangunan ini dari usia dibina, detik dibiar usang sehinggalah ke proses pemuliharaan yang begitu membangkit semangat dan akhirnya kekaguman ke atas warisan yang tidak ternilai ini. Saya amat bersyukur ke hadrat Allah kerana dapat menyumbang khidmat bagi membangunkan semula warisan ini untuk generasi akan datang....warisan bukan sahaja masa lepas yang diwariskan untuk hari ini tetapi apa yang kita bina hari ini akan menjadi sejarah untuk masa depan....





Kepada pelajar dan penyelidik, saya sertakan kertas kerja


MEMBANGUN WARISAN NEGERI PERAK: PEMULIHARAAN MASJID LAMA KAMPUNG KUALA DAL, KUALA KANGSAR PERAK.

Oleh:

Dr. Siti Norlizaiha Harun
Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak
23 Mac 2010
Simposium Nusantara ke-7, Warisan Budaya Negeri Perak 2010

Abstrak

Projek pemuliharaan bangunan Masjid Lama Kampung Kuala Dal bermula dari usaha penduduk kampung dan Ahli Jawatan Kuasa Masjid Al-Wahidiah yang ingin melihat masjid lama ini dapat dikekalkan dan diwariskan kepada generasi masa hadapan. Terletak di Mukim padang Rengas, Kuala Kangsar Perak, masjid ini mempunyai keistimewaan bukan sahaja dari segi bentuk bangunan dan seni bina malahan yang paling unik ialah bahan binaan yang menggunakan bahan-bahan semulajadi tempatan. Masjid ini dibina daripada buluh dengan anyaman kelarai yang cantik dan satu-satunya di Malaysia. Pada Disember 2008, Jabatan Warisan Negara dibawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan bangunan Masjid Lama Kampung Kuala Dal. Projek pemuliharaan telah disiapkan sepenuhnya pada Ogos 2009. Pemuliharaan masjid ini merupakan satu usaha Jabatan Warisan Negara untuk melindungi dan memulihara khazanah warisan untuk tatapan generasi alaf globalisasi.

Pengenalan

Pemuliharaan atau konservasi bermaksud kerja-kerja baik pulih dan perawatan ke atas bangunan bersejarah dari kerosakan dan kemusnahan. Tindakan kerja pemuliharaan adalah untuk memanjangkan hayat bangunan supaya nilai-nilai warisan sejarah bangunan dapat dikekalkan untuk bukti sejarah pada masa kini dan masa hadapan.Tujuan pemuliharaan bangunan Masjid Lama Kampung Kuala Dal adalah untuk mengekalkan warisan sejarah dan seni bina negeri Perak. Keunikan bangunan yang diperbuat daripada bahan semulajadi iaitu kayu dan buluh menjadikan ia salah sebuah masjid yang unggul dan istimewa di Malaysia. Melalui pemuliharaan dan pengekalan masjid ini, warisan kebudayaan negeri Perak dapat dikekal dan diwariskan untuk generasi yang akan datang.

Masjid Lama Kampung Kuala Dal atau dikenali juga sebagai Masjid Ihsaniah Iskandariah terletak di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas kira-kira 4.8 kilometer dari Bandar DiRaja Kuala Kangsar. Projek pemuliharaan ini begitu menarik dari segi pengalaman samada dari segi sejarah, fizikal dan emosi. Ia merupakan satu usaha yang dapat dilihat dan dijengok berhari-hari oleh penduduk kampung termasuklah orang-ramai yang melalui jalan Kuala Kangsar-Taiping. Perubahan bangunan begitu mengejutkan dan mengkagumkan. Projek berjalan hampir 8 bulan ini, telah dilaksanakan oleh Perunding Badrul Hisham Arkitek dan Kontraktor Asli Bina Jaya.

Sejarah dan Senibina

Masjid lama Kampung Kuala Dal terletak di Mukim Padang Rengas, daerah Kuala Kangsar perak. Masjid Lama Kampung Kuala Dal telah dibina oleh Sultan Iskandar Shah iaitu Sultan Perak ke 30 pada tahun 1936. Berdasarkan pahatan tulisan yang terdapat pada papan plag perasminan masjid, mengisahkan majlis perasmian telah diadakan pada hari Jumaat tanggal 10 Zulhijjah pada tahun 1356 Hijrah bersamaan dengan 11 Februari 1938 oleh Sultan Iskandar Syah. Masjid ini telah dibina oleh Sultan Iskandar Syah pada masa itu bersempena menunaikan hajat baginda. Baginda Sultan telah berniat atau bernazar untuk membina sebuah masjid apabila salah seorang daripada anakanda baginda telah sembuh dari gering. Lokasi Kampung Dal menjadi pilihan kerana baginda dan para pembesar serta kerabat DiRaja sering pergi berkelah di Lata Bubu iaitu kawasan perkelahan DiRaja yang berhampiran dengan kampung tersebut. Di dalam perjalanan baginda sering melihat orang-orang kampung tersebut bersembahyang di madrasah yang telah usang. Maka lahirlah rasa belas kasihan baginda terhadap penduduk setempat, dengan itu masjid yang telah siap dibina itu dinamakan Masjid Ikhsaniah Iskandariah.

Masjid yang dibina dengan wang ihsan daripada Sultan Iskandar Syah itu menelan belanja sebanyak RM 8,000 dan telah dibina di atas sebidang tanah yang diwakafkan secara lisan oleh seorang bangsawan iaitu Juragan Abdul Syukur bin Mohamad Ali. Pembinaan masjid ini diketuai oleh tukang berbangsa Cina dan dibantu oleh orang-orang kampung tersebut secara bergotong-royong di dalam menyiapkan kerja-kerja mengayam dinding tepas atau kelarai dan ukiran kayu. Tukang kayu mahir seperti Panjang Noh, Ngah Gadoh, Wan Ibrahim dan Kulup Ngah adalah diantara Sembilan individu yang turut menyumbangkan kepakaran dan kemahiran mereka semasa pembinaan masjid dijalankan. Masjid ini mempunyai ciri-ciri seni bina Istana Kenangan di Bukit Chandan dikatakan daripada hasil ilham baginda Sultan Sendiri.

Masjid Lama Kampung Kuala Dal dibina daripada kerangka kayu yang terdiri daripada dua aras. Tingkat atas digunakan sebagai ruang bersolat. Terdapat ruang mihrab yang mengujur keluar mengadap kiblat. Tingkat bawah dijadikan ruang untuk aktiviti keagamaan masyarakat kampung seperti kelas mengaji Quran dan kenduri. Bangunan ini disokong dengan lapan batang tiang daripada kayu ‘kempas’. Setiap tiang berlapikkan batu alas 50mm ( 1’6” ) yang dikonkritkan bersama lantai simen. Masjid yang berdindingkan panel-panel kelarai buluh dengan corak berlian atau rubus. Masyarakat tempatan menyebutkan corak ’tiga’ kerana terdapat tiga lingkaran kelarai. Dinding kelarai dikenali juga sebagai dinding tepas. Setiap panel kelarai diperkukuhkan dengan palang kayu yang dihiasi corak ‘tampuk manggis’ daripada kayu dipersilangan palang. Pelan lantai berbentuk segiempat dan dinding dibahagikan kepada tiga bahagian mengikut pembahagian tiang. Di keempat-empat penjuru masjid terdapat seolah-olah empat menara terkeluar daripada dinding. Ruang- ruang yang terkeluar itu berbentuk segi empat tepat yang berukuran ( 3’ x 3’). Bumbung masjid ini berbentuk limas bungkus dengan bahan zink yang merupakan bahan yang esklusif pada masa itu.

Di tingkat atas dewan solat menggunakan tingkap labuh dengan dua daun pintu dan berpagar, untuk pengudaraan dan pencahayaan. Setiap tingkap berdaun dua dihiasi kerawang ukiran “tebuk terus tidak bersilat” bermotif pucuk kacang, bulan sabit dan bintang. Semua ragam hias ini dibuat oleh penduduk tempatan. Penggunaan kayu silang atau corak jejala terdapat di bahagian atas dinding kelarai, manakala di atas tingkap terdapat ram kayu tetap (sisip angin) untuk pengudaraan. Keseluruhan bahagian siling adalah terdiri daripada papan. Di tingkat bawah, dinding panel kelarai diselang-selikan dengan tingkap dua daun.

Keadaan Bangunan Sebelum Pemuliharaan

Bangunan masjid Kampung Dal telah berusia hampir 80 tahun. Bangunan ini telah terbiar dan tidak digunakan setelah masjid baru iaitu masjid al-Whidiah dibina bersebelahan dengannya pada sekitar 1980an. Kerosakan utama pada bangunan seperti struktur kayu bumbung reput dan patah, manakala tiang, gelegar dan papan lantai mengalami kerosakan seperti pereputan dan serangan anai-anai. Panel dinding ini mengalami pereputan, bilah buluh pecah, cat luntur dan hampir semua panel ditumbuhi lumut dan kulat menyebabkan wajah atau rupa bangunan ini kelihatan begitu usang. Bukaan seperti pintu dan tingkap termasuk ukiran pada dinding juga telah patah, hilang dan reput .

Pemuliharaan Bangunan

Masjid Lama Kampung Kuala Dal diperbuat daripada kayu dan dinding kelarai buluh. Bangunan ini telah lama tidak digunakan dan keadaanya terbiar tanpa penjagaan dan penyenggaraan. Kerosakan utama pada bangunan ialah pereputan bahan binaan khususnya dinding kelarai. Kerja- kerja pemuliharaan bangunan masjid ini adalah mengikut prosidur dan tata cara kerja pemuliharaan sebagaimana yang dikehendaki oleh Jabatan Warisan Negara. Prosidur kerja dipantau dan diselia oleh Konservator yang dilantik. Setiap tindakan kerja melalui prosidur asas iaitu merekod terlebih dahulu keadaan elemen dan mengenalpasti bahan binaan asal termasuklah teknik dan kaedah binaan.

• Prinsip Pemuliharaan

Bagaimana hendak memulihara bangunan bersejarah? Terdapat kaedah dan prinsip tertentu untuk memulihara bangunan bersejarah. Perkara asas atau utama sebelum memulakan sebarang kerja teknikal ialah kefahaman tentang konsep dan prinsip kerja pemuliharaan yang sebenar. Kerja-kerja memulihara bangunan sejarah bukan hanya dari aspek fizikal dan teknikal sahaja tetapi yang paling penting ialah pengetahuan tentang sejarah bangunan itu sendiri. Dalam konteks projek pemulilharaan bangunan masjid lama ini, prinsip yang dilaksanakan oleh Jabatan Warisan Negara Malaysia ialah ”memulihara bangunan sebagaimana yang asal iaitu pada tahun dibina, 1936”. Ini selaras dengan prinsip pemuliharaan diperingkat kebangsaan dan antarabangsa iaitu ”keaslian sejarah”. Bagi merealisasikan ini, maksud keaslian diterjemahkan dalam bentuk fizikan berpandukan bukti sejarah; gambar foto lama, kajian seni bina dan maklumat secara lisan oleh penduduk tempatan. Prinsip keaslian yang dilaksanakan ialah keslian dalam bahan binaan, keaslian dalam reka bentuk dan keaslian dalam kerja pertukangan bangunan. Tujuan prinsip ini ditegaskan dalam kerja-kerja pemuliharaan bangunan adalah bagi memastikan harta warisan dipulihara sebagaimana yang asal dan gebnerasi kini dapat melihat sejarah silam dengan sebenarnya dan bukan pemalsuan. Proses bagi mendapatkan bukti keaslian dilakukan dengan prosidur rekod dan dokumentasi bangunan.

• Dokumentasi

Salah satu prinsip utama pemuliharaan bangunan bersejarah ialah dokumentasi bangunan. Dokumentasi ini melibatkan aspek sejarah bangunan, rekod keadaan bangunan, rekabentuk bangunan, jenis bahan binaan bangunan dan kaedah binaan. Bahan dokumentasi yang direkod merupakan sebahagian daripada khazanah warisan. Bahan-bahan ini dirakam dan dipersembahan secara laporan dan kemudiannya akan disimpan di arkib bagi tujuan rujukan. Projek pemuliharaan Masjid Lama Kampung Kuala Dal melibatkan dokumentasi keadaan bangunan semasa jumpaan dengan direkod dalam bentuk lukisan terukur, kajian jenis kayu dan skima warna cat. Dokumentasi amat penting dalam sebarang projek pemuliharaan bangunan bersejarah kerana apa sahaja yang direkod semasa kerja berjalan termasuk pembuktian bahan akan menjadi satu rujukan dan panduan untuk pemuliharaan semula bangunan sekiranya bangunan mengalami kerosakan atau musnah.

• Pemuliharaan Bumbung

Proses pemuliharaan bangunan bermula dengan kerja-kerja perlindungan struktur iaitu melindungi bangunan dengan bumbung sementara dan meneguhkan tiang dan dinding bangunan dengan perancah dan kayu penyokong. Peneguhan struktur ini amat penting bagi memastikan bentuk asal atau ‘alignment’ bangunan tidak berubah dari kedudukan asal. Pemasangan bumbung sementara pula dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan bangunan ini tidak terdedah kepada kebocoran khususnya air hujan.

• Pemuliharaan dinding kelarai

Jenis buluh yang digunakan untuk anyaman kelarai adalah jenis buluh minyak. Sumber bahan ini diperolehi di Arau Perlis dan proses pembuatan dinding kelarai dibuat oleh Puan Meriah Ahmad yang menjalankan perusahan anyaman dibawah program Projek Kraftani anjuran Jabatan Pertanian Negeri Perllis. Buluh dipotong saiz 0.5 m direndam didalam air kolam selama semalaman atau lebih bagi membersihkan kotoran dan getah yng masih melekat pada buluh. Seterusnya buluh dijemur hingga kering. Batang-batang buluh ini kemudiaan dilarik menggunakan mesin pelarik bagi mendapatkan kepingan bilah buluh yang lebih nipis. Untuk anyaman dinding kelarai, bilah bahagian kulit diambil memandangkan teksturnya lebih lembut dan mudah lentur untuk anyaman berbanding bilah isi yang bersabut. Bilah bahagian kulit juga adalah sepadan dengan bilah asal dinding masjid. Bilah buluh bersaiz 0.5 m panjang dengan ketebalan 0.2 mm dianyam dengan corak rubus. Disebut juga oleh orang tempatan sebagai anyaman corak ” tiga” kerana terdapat tiga lingkaran pada setiap motif.


• Pemuliharaan Pintu, Tingkap dan Ukiran

Bukaan tingkap masjid ini adalah tingkap labuh berkerawang dan terdapat jerejak dibahagian bawah tingkap. Ukiran kerawang adalah jenis tebuk terus bermotifkan tumbuhan. Selain ukiran pada bahagian atas tingkap, kayu kekisi, cucuran bumbung dan panel kemasan papan cantik (facia board) juga berukir dengan pola yang menarik. Jenis kayu untuk ukiran kerawang pada bangunan masjid adalah dari jenis kayu meranti dan jenis kayu untuk bukaan tingkap adalah jenis kayu nyatoh.

Kerja-kerja pemuliharaan bukaan dan ukiran kayu dimulakan dengan merekod ukiran dan saiz panel ukir dan membuat ujian warna cat. Kesemua kerawang dan ukiran pada bangunan ini dicat dengan skima warna dinding kelarai.

Rumusan

Secara keseluruhannya projek pemuliharaan masjid ini telah dilaksanakan dengan jayanya. Projek bermula pada Disember 2008 dan siap sepenuhnya pada bulan Ogos 2009. Terdapat beberapa perkara isu dalam projek ini seperti kesukaran mendapat bahan asal untuk dinding iaitu buluh. Isu ini berlanjutan dengan halangan masa bagi kerja-kerja mengayam kelarai baru termasuklah kerja merawat kelarai lama dan kerja yang paling rumit ialah mengecat dinding kelarai. Walau bagaimanapun isu ini merupakan satu cabaran dan menjadi dorongan untuk kontraktor mencari keperluan sumber untuk pemuliharaan bangunan masjid ini. Secara tidak langsung melalui usaha ini, beberapa pengusaha anyaman kelarai dapat ditemui. Projek ini juga telah memberi manfaat besar khususnya dalam perolehan dan perkembangan budaya dan tradisi masyarakat tempatan iaitu memperkenalkan warisan anyaman kelarai negeri Perak. Ini termasuklah teknik dan kaedah membina bangunan yang dapat dipelajari dan diperturunkan melalui kerja-kerja pemuliharaan bangunan masjid ini.

Projek pemuliharaan Masjid Lama Kampung Kuala Dal telah berjaya mencapai matlamat pemuliharaan bangunan warisan. Melalui projek pemuliharaan ini, sebuah lagi bangunan bersejarah dapat dikekalkan untuk warisan sejarah bagi generasi kini dan akan datang. Projek ini telah merubah wajah bangunan yang dulunya begitu usang dan hampir tidak dikenali. Perubahan rupa bangunan ini begitu ketara dengan warna catnya yang terang iaitu warna kuning. Bangunan masjid lama ini setelah siap dipulihara, telah menyerlahkan lagi butiran seni bina bangunan seperti bentuk bangunan, ukiran kayu dan anyaman dinding kelarai Di samping itu, kelarai dinding dicat teliti dengan warna putih, kuning dan hitam menjadikan rupa bangunan ini seperti permukaan dinding dilukis bercorak. Ini merupakan salah satu keunggulan yang terdapat pada masjid ini Adalah diharap bangunan ini akan dapat terus terpelihara dan diselenggarakan dengan baik pada masa-masa hadapan.

Rujukan

Abdul Halim Nasir (1984), Masjid-masjid di Semenanjung Malaysia, Berita Publishing Sdn. Bhd., Kuala Lumpur

Asli Bina Jaya (2010), Laporan Akhir Cadangan Kerja-kerja konservasi Masjid Lama Kampung Kuala Dal, Kuala Kangsar, Perak.

Siti Norlizaiha Harun et. All (2010), Pemuliharaan Bangunan Bersejarah, Penerbit Universiti UPENA, Shah Alam, Selangor

Visu Sannadurai, ed. (2006), Landmarks of Perak, RNS Publication, Kuala Lumpur

Sunday 14 March 2010

Bengkel Rebana di Kampung Lempur Kuala Kangsar









11 hb Mac, pelajar-pelajar Warisn , UMK berkunjung ke Kuala Kangsar untuk lawatan sambil belajar. Beberapa aktiviti telah diatur antaranya lawatan ke galeri dan bengkel warisan. Sungguh tak sangka program yang dirancang disaat akhir telah berjaya dilaksanakan dengan penuh kerjasama dan semangat mesra penduduk kampung Lempor, Kuala Kangsar. Mlm tersebut ativiti pertukaran kebudayaan oleh pelajar dijalankan. Persembahan dimulai dengan lagu marhaban degan paluan rebana kecil. Pelajar mempersebahkan tarian 'mengadap rebab'. Ini merupakan kali pertama saya terlibat. Amat teruja, teringat zaman belajar di USM, menghadiri kelas tarian kerana dah takde pilihan, rupanya ini sebahagian jiwa saya yang muncul semula.

Wednesday 10 March 2010

Rumah Teh Bunga, Jalan Hutton, Pulau Pinang





Minggu lepas 6 Mac 2010, saya dijemput untuk menghadiri Majlis Penyerahan bangunan warisam dan penubuhan Galeri Melayu Pulau Pinang. Majlis dirasmikan oleh Dato Seri utama Dr. Rais Yatim.

Rumah Teh Bunga ialah sebuah rumah agam yang hebat pernah menjadi kediaman beberapa generasi keterunan Jawi Peranakan. mendapat gelaran Teh Bunga kerana warna cat bagunan ialah warna teh. Rumah ini mempunyai gaya seni bina Sino-Malay menggabungkan rumah bumbung limas Melayu dengan ciri Cina dan Eropah. Saya amat tertarik dengan komposisi ruang dan elemen pada bangunan warisan ini. Perincian yang ringkas tetapi unik menunjukkan citarasa tinggi pemilik rumah ketika itu. Ruang yang paling menarik perhatian ialah ruang dapur.Elemen asal seperti tungku dapur, almari dan para pinggan agak sepadan dengan pengaruh dapaur Inggeris lama. Perabut dan kelengkapan dapur juga masih asal. Elemen kemasan seperti lantai 'terra-cota' dan batu granite pada kemasan lantai tempat membasuh dan kolah merupakan elemen kemasan yang dikekalkan.