Saturday 26 September 2009

Hari Raya di Kampung

Alhamdullillah, kita berjaya menunaikan ibadah Romadhan dan selamat menyambut Idil Fitri. Maaf Zahir Batin kepada semua pembaca blog, pelajar, sahabat-sahabat dan guru-guru.




Tahun ini berbeza dari tahun-tahun dahulu malahan terdapat banyak pengalaman dan anugerah yang ALLAH swt kurniakan kepada saya, yang membezakan Romadhan kali ini dengan Romadhan lepas. Romdhan tahun ini saya diberi nikmat dan kesempatan menghadirkan diri dalam sambutan ihya Romadhan yang penuh berkat di Tanah Serendah Sekebun Bunga.

Sambutan ihya Romadhan di Kelantan memang hebat. Di Dataran Stadium Kota Bharu, hampir 1000 orang jemaah menghadiri solat Tarawih. Sepanjang Romadhan Dataran ini tidak putus dengan aktiviti ihya Romadhan, bermula dengan berbuka puasa, solat Tarawih, bertadarus al-Quran, tazkirah dan Qiamullai sehinggalah waktu bersahur. Semoga Allah swt memberi keberkatan, ketakwaan dan kemakmuran kepada negeri ini. Saya berdoa dan berharap kita semua dipanjangkan umur untuk bertemu Romadhan akan datang.



Syawal dan Idil Fitri tahun ini paling meriah apabila semua ahli keluarga dapat pulang ke kampung. Paling gembira adalah anak-anak saudara. Semuanya semakin membesar. Kalau dulu berdukung berhari raya, tahun ini semuanya berarak berjalan dari sebuah rumah ke sebuah rumah. Dengan pakaian kurung dan baju Melayu, sambutan raya orang-orang kita sememangnya penuh tradisi dan suasana kegembiraan Syawal benar-benar dapat dihayati.

Melihat dan menghayati kegembiraan Syawal serta sambutan tradisi yang diwariskan oleh orang-orang dahulu, adalah sesuatu yang mengasyikkan. Kesempatan cuti panjang bersama anak-anak saudara, dipetang raya ke 3 dapatlah saya meluangkan masa untuk mengajar dan bermain permainan tradisi galah panjang dan dekcok (teng-teng). Suasana begitu gembira bagi anak-anak saudara seusia 3 tahun hingga 9 tahun dapat bermain dekcok, walau pun dengan petak-petak digariskan dengan susunan kasut dan selipar. Kebiasaannya petang-petang begini mereka asyik mengadap Astro atau bermain PS2 saja. Raya tahun ini memang ada kelainan bersama Che Long.


Monday 14 September 2009

PROJEK DAH SIAP!...PEMULIHARAAN MASJID LAMA KG. KUALA DAL, KUALA KANGSAR, PERAK



SALAM ROMADHAN DAN SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI


Alhamdulillah menjelang Syawal, projek pemuliharaan Masjid Lama Kg Kuala Dal telah siap sepenuhnya. Bila datang melawat projek, saya terkejut melihat bangunan ini begitu bersinar warnanya. Terlupa rupanya yang asal, begitu usang dan kelam dek lumut dan pereputan. Sekalung tahniah kepada Jabatan Warisan Negara, Badrul Hisham Arkitek dan Kontraktor Asli Bina Jaya yang menjayakan projek ini dengan jayanya. Saya amat bersyukur dapat menyumbang khidmat saya sebagai Konservator Bangunan, sebuah lagi warisan negara dapat dipulihara. Masjid ini mempunyai keunikan dan keistimewaan dari segi sejarah, seni bina, rupa dan emosi.