Sunday, 19 July 2009

KONSERVASI PELEPA BANGUNAN BERSEJARAH



BENGKEL KONSERVASI BANGUNAN WARISAN: KONSERVASI PELEPA

Pejabat Pos Lama Ipoh, Perak, 17-19 JULAI
Anjuran JAB WARISAN NEGARA

Hari ini selesai bengkel 3 hari Konservasi Bangunan Bersejarah untuk Pelepa Dinding. Bengkel ini amat berjaya disertai oleh pelbagai latarbelakang seperti kontraktor, arkitek, jurutera, konservator dan pihak majlis perbandaran. Selain syarahan dari penceramah jemputan, para peserta juga diberi latihan amali membancuh pelepa kapur dan melepa diding. Banyak ilmu diperolehi hasil daripada bengkel. Kefahaman terhadap masalah bangunan dan teknik rawatan yang sesuai amatlah penting didalam kerja-kerja pemuliharaan bangunan bersejarah. Aspek sejarah bukan sahaja dari segi keaslian reka bentuk bangunan tetapi bahan binaan bangunan juga adalah amat penting. Salah satu bahan utama ialah pelepa dinding. Memang tak dapat dinafikan teknologi pembinaan bangunan sejak beribu tahun lagi telah ada penemuan yang membuktikan bahan pelepa bangunan adalah 'kapur'. Bangunan bersejarah yang hebat seperti colesium juga dibina dengan ikatan bata dan pelepa dari kapur dan masih bertahan hingga abad ini.





Friday, 10 July 2009

BENGKEL KONSERVASI

Bengkel Bersiri Konservasi Bangunan Jabatan Warisan Negara Malaysia: Konservasi Pelepa Dinding.



Bengkel akan diadakan pada 18-19 Julai 2009, bertempat di Pej. Pos Lama Ipoh. Kepada yang berminat boleh berhubung terus dengan Jabatan Warisan Negara Malaysia.

Saya akan memberi syarahan 'Kajian Kerosakaan Lepaan Dinding Bangunan Pejabat Pos Lama Ipoh" dan tunjuk ajar tentang kajian kelembapan dan dilapidasi serta latihan amali membancuh dan melepa dinding bangunan.

Saturday, 4 July 2009

PEMULIHARAAN MASJID LAMA KEDAI MULONG

Mengembalikan Warisan dan Tradisi



Semalam, saya dapat jemputan ke majlis perasmian Masjid Lama Kedai Mulong, Kelantan (5 Julai 09). Sayang tak dapat pergi kerana kuliah di UiTM bermula esok. Tahniah diucapkan kepada Jabaan Warisan Negara Malaysia dan Kontraktor Asli Bina Jaya. Walaupun tidak terlibat dengan projek ini tetapi saya mengikuti perkembangannya dan setiap kali balik kampung saya akan singgah untuk melihat masjid ini. Terima kasih kepada Shaari, Nadia dan Hamdan yang sudi berkongsi pengalaman dan menerima pandangan kecil dari saya setiap kali menjenguk masjid ini.






Projek konservasi ini amat menarik kerana dapat mengembalikan semula bentuk asal bangunan dari segi seni bina dan bahan binaan. Memang menakjubkan kerana berbanding dengan bangunan asal yang telah dicat tebal dan berbumbung asbestos, bangunan yang dipulihara semula ini telah menampilkan seni bina Melayu yang begitu hebat dan mempesonakan. Siapa sangka dewan utama masjid ini asalnya sebuah balairung seri.

Masjid Lama Kedai Mulong ini merupakan ‘Balairung Seri Raja Dewa’ (1944). Asalnya istana ini terletak dibelakang Bangunan UMNO Kota Bharu (sekarang). Bangunan ini dibina sekitar 1900an semasa pemerintahan Sultan Muhamad ke IV sebagai rumah kediaman Tun Zainal Abidin (Raja Dewa 1897-1945). Bangunan ini telah dibugarkan pada sekitar 1958 dan balai utama istana (kediaman) ini telah buka secara gotong royong, diangkut dan dipindahkan ke tanah wakaf Tuan Haji Abdul Rahman Haji Ismail (Ayah Su) di Lot 495, Kampung Surau Lama Kedai Mulong di KM 11 Jalan Kuala Krai, Kota Bharu. Kerja-kerja mendirikan masjid dengan struktur asal balairung seri siap pada akhir Disember 1958. Keluasan Bangunan Masjid Lama ini adalah 20’x60’ dikekalkan sebagaimana asal. Binaannya mempunyai 16 tiang (saiz 10”x10”) pada bahagian tepi bangunan dan tanpa tiang seri. Terdapat ukiran pada setiap tiang masjid. Panel corak ‘Janda Berhias’ menghiasi dinding masjid. Di bahagian laluan angin pula dikelilingi jejala bercorak geometri bermotif bunga. Manakala bahagian siling pula dihiasi buah butong.






Projek pemuliharaan Masjid Kedai Mulong ini amat mementingkan keaslian seni bina termasuklah kaedah binaan. Semua teknik dan kaedah konservasi diteliti terlebih dahulu dan aspek yang paling penting ialah sejarah dan dokumentasi.

Tak sabar nak tengok Masjid Lama Kampung Kuala Dal, Kuala Kangsar siap!!!

Saturday, 27 June 2009

KEDAI CENDOL, JLN JONKER, MELAKA

PENYESUAIGUNAAN SEMULA (ADAPTIVE RE-USE): Membawa Tradisi Merentas Masa

Penyesuaigunaan semula atau adaptive re-use merupakan salah satu pendekatan dalam pemuliharaan (conservation) selain pengekalan (preservation), pengembalian semula (restoration) dan pembinaan semula (reconstruction). Berbeza dengan ke empat-empat pendekatan utama pemuliharaan, penyesuaigunaan semula bermaksud kepada pertukaran fungsi atau aktiviti asal bangunan kepada aktiviti baru yang lebih menjana ekonomi. Program seperti ini banyak dapat dilihat di dua buah bandaraya bersejarah, Melaka dan Georgetown, Pulau Pinang. Bangunan-bangunan bersejarah yang terabai atau tidak aktif lagi telah ditukar guna kepada fungsi baru dengan perubahan reka bentuk dalaman yang bersesuaian dengan tema dan fungsi baru seperti restoran, galeri, butik dan muzium.




Perjalanan kembara kota warisan pada awal Jun lalu diakhiri dengan lawatan ke beberapa buah bangunan rumah kedai lama di Jalan Jonker, Melaka. Rumah-rumah kedai di jalan ini masih mengekalkan fasad asal tetapi aktiviti telah ditukar guna semula kepada kedai barangan antik, restoran, galeri, butik, hotel dan muzium. Peluang tinggal di hotel Puri, suatu pengalaman pembelajaran yang menarik kerana kami dapat melihat pelestarian warisan di setiap ruang-ruang hotel.

Paling menarik ialah menikmati “suasana” di kedai cendol. Memang jarang-jarang dapat mengalami suasana kedai lama seperti ini. Berbeza dengan konsep kopitiam yang agak seragam dari segi perabut dan perkakasan makan minum. Kedai ini begitu sederhana dan asli (natural), berjaya menimbulkan “memori”, “pengalaman”, “perasaan” dan “penceritaan”. Semuanya ditampilkan melalui pengekalan ruang dan bahan asal, suasana diterjemahkan melalui pergerakan masuk ke ruang-ruang. Transisi suasana dibezakan dengan hiasan dinding dan pencahayaan. Ruang terakhir bakal meninggalkan memori melalui bingkai-bingkai gambar foto lama menjadikan sudut atau ruang ini ada penceritaan yang lekat sebagai memori. Suasana di kedai cendol ini mengambalikan ingatan aku pada kedai “bakso lela” di Bandung. Tak lah sedap pun baksonya tetapi yang mahalnya adalah “membayar suasana nusantara”. Konsep “membayar suasana” salah satu idea yang penting dalam penyesuaigunaan semula khususnya dalam menata ruang kepada fungsi baru.











Banyak idea penyelidikan berkenaan reka bentuk dalaman timbul dan hebat dibincangkan ketika menikmati cendol. Shaari menanyakan soalan-soalan yang membuatkan Min dan aku memerah otak untuk menjawab.


Apapun banyak perkara yang boleh kami timba melalui pengalaman beliau dalam bidang konservasi. Jawapan aku mudah saja, kepada arkitek dan pereka bentuk dalaman, fahami dahulu prinsip dan etika konservasi. Konservasi adalah aktiviti mengekalkan warisan, mengembali masa lalu yang berharga untuk masa kini, membawa bersama tradisi dan suasana ketika itu.

Tuesday, 23 June 2009

BALIK KAMPUNG

BALIK KAMPUNG: Merayap Lagi ke Gertak Lembu Salor dan Kampung Dalam Tumpat



Seperti biasa setiap kali balik ke Kampung Kota, Aku merancang untuk merayap ke kampung. Pagi lagi aku dah mengambil Azira di Ketereh terus ke Masjid Kedai Mulong. Sementara menunggu Shaari sampai kami melihat bangunan Masjid Kedai Mulong yang dah siap dipulihara. Memang cantik dan hebat seni bina masjid ini. Bangunan asal masjid ini adalah Balairung Seri Raja Dewa (1900) yang terletak di Kota Bharu, kemudian pada sekitar 1958, bangunan telah dirombak dan dipindahkan ke Kedai Mulong dan dijadikan masjid. Tahniah pada Tn Hj Shaari, kontraktor projek ini.

Setelah selesai berbincang dan mengambil gambar, kami beransur ke Salor. Gertak Lembu atau Jambatan Lembu terletak di kampung Salor. Ada sesuatu yang menarik di kampung ini. Perkisahan sejarah menyatakan tempat ini tempat berkotanya Raja Salor dan di lembah sungai (padang) yang luas dijadikan tempat berlaga lembu dan permainan rakyat. Kali pertama aku pergi selepas diberitahu oleh Dato’ Adi Taha dan Shaari. Kebetulan pula Dr. Zulkifli orang Kampung Salor, banyak lagi kisah-kisah Raja Salor diceritakan, semuanya ada dalam blog beliau.


Pertama kali ke Gertak Salor, aku memandu bersama emak dan Abah tapi hilang arah kerana banyak jalan mati. Alhamdulillah perjalanan kali ini Shaari yang bawa, itu pun sesat beberapa kali kerana banyak sangat lorong hendak ke lembah sungai. Akhirnya aku mengambil keputusan ke Kedai Salor, teringat rumah Dr. Zul disitu mungkin ada yang boleh membantu. Aku dah maklum ayah beliau di KL jadi aku meminta bantuan Tok Penggawa untuk menunjuk arah ke Makam Raja Salor. Sayangnya kami dimaklumkan jalan masuk ke makam dah semakin sukar kerana semak dan belukar tebal. Walaupun tidak berpuas hati, tapi ada yang lebih menarik untuk dilihat iaitu perkampungan dan seni bina rumah penduduk Cina di Salor. Terdapat sebuah tokong Cina Kuan Kong dan lebih kurang 5 buah rumah Cina yang terletak di tebingan sungai. Walau pun struktur asal banyak yang berubah tetapi ciri-ciri senibina seperti bentuk bumbung panjang, pelantar , dinding dan bukaan masuk ke rumah masih lagi kekal.

Selepas makan tengahari, Shaari beriya-iya mengajak aku dan Azira untuk melihat rumah tradisi penduduk berketerunan Siam di Tumpat pula, cuma aku tak sangka rumah-rumah ini berada dalam kawasan Kok atau Ketik Siam, panggilan orang Kelantan. Ini kali pertama aku masuk ke kawasan ketik, berbanding Azira yang dibesarkan dipersekitaran ini. Wah memang hebat seni bina rumah tradisi Siam. Tak sempat nak mencari sumber dan bahan seni bina, cukuplah dengan paparan gambar-gambar ini.