Tuesday 16 June 2009

JURNAL KOTA WARISAN: Mersing-Johor Lama-Kota Tinggi



1 Jun 2009: Johor Lama – Kota Tinggi – Johor Bharu

Hari ini merupakan destinasi yang paling penting iaitu ke Johor Lama. Kota Johor Lama terletak di tebing Sungai Johor kira-kira 27 km dari bandar Kota Tinggi. Untuk ke kota Johor Lama, aku memandu masuk ke kawasan ladang getah atas tebing muara Sungai Johor. Terdapat perkampungan sejarah seperti Kampong Teluk Sengat dan Kampong Johor Lama.

Sejarah Kota Johor Lama bermula pada tahun 1540 apabila Sultan Alauddin Riayat Shah II (Raja Johor ke dua 1528-1564) berpindah ke Tanjung Batu yang terletak ditepi Sungai Johor. Baginda telah membina sebuah kota yang dibina daripada susunan batu dan kemudiannya ditambak dengan tanah. Dengan terbinanya kota ini, kerajaan Johor menjadi sebuah negeri yang kuat hingga mematahkan serangan Acheh beberapa kali. Sultan Alaudin Riayat Shah II akhirnya tewas juga ditangan Acheh di bawah Sultan Alaudin Riayat Shah Al-Qahhar di dalam satu peperangan yang sengit. Kota Johor Lama telah diperintah oleh beberapa orang Sultan; Sultan Muzafar Shah-1564, Sultan Abdul Jalil Shah I- 1571, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II – 1571-1597. Semasa pemerintahan Sultan Ali Jalla Shah II, baginda menyambung semula persahabatan dengan Acheh. Perhubungan ini tidak disenangi Potugis di Melaka lalu Portugis menyerang Kota Johor Lama pada 1576 dan 1578. Kedua-dua serangan ini dapat ditumpaskan oleh Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II. Akhirnya kota ini tumpas kepada Portugis pada tahun 1587. Johor Lama telah dikepung selama hampir satu bulan oleh angkatan tentera Portugis pimpinan Siamo de Abreu da Antonio de Noronha. Dalam peperangan itu Portugis telah memusnahkan langsung pusat pentadbiran Johor Lama dengan membakar dan turut memusnahkan Kota Batu.

Warisan kegemilangan Kota Johor Lama ini tidak seharusnya dilupakan. Ia pernah menjadi ibu negeri Johor semasa pemerintahan Sultan Alaudin Riayat Shah (1540-1564) dan kemuncak kegemilangannya semasa Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II (1574-1587). Semua catatan dan perkisahan sejarah termasuk artifak yang ditemui dibekas tapak kota disimpan dan dipamer di Pusat Informasi Kota Johor Lama. Pusat Informasi dibina berasaskan seni bina rumah tradisi Melaka, ia sebagai simbol istana yang mungkin pernah wujud di kota Johor Lama. Dipersekitaran Johor lama juga terdapat makam bersejarah Sultan Alaudin Riayat Shah II.


Berhampiran Johor lama terdapat perkampungan nelayan, Kampung Teluk Sengat. Kedatangan kami di sambut dengan pantun dan pulang kami juga dengan patun. Pantun ini tertera dipapan masuk dan keluar di jeti pengkalan Teluk Sengat:

Patah pendayung hilang haluan,

Sampan hanyut berdayung tangan,

Datangnya tuan kami alukan,

Kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan,

Asal tembaga menjadi dulang,

Asal kayu menjadi peti,

Andai Jodoh masa mendatang,

Moga kita berjumpa lagi.

Apa yang aku bayangkan Teluk Sengat sebuah perkampungan nelayan yang indah, namun banyak yang telah berubah kesan daripada projek berhampiran sungai disamping tiada penyelenggaraan, keadaan persekitaran sungai agak tercemar atau mungkin ketika kami tiba adalah waktu air surut.

Ketika matahari makin meninggi, kami mula beredar untuk ke Kota Tinggi pula. Di kota tinggi destinasi kami ialah ke Muzium Kota Tinggi dan beberapa tapak bersejarah seperti di Kampung Makam. Peninggalan sejarah di persisiran Sungai Johor begitu banyak dan merupakan warisan yang tidak ternilai. Dari Kota Johor Lama, sekiranya menyusuri Sungai Johor terdapat tapak-tapak bersejarah seperti Kampung (kota) Panchor, Bukit Seluyut, Batu Sawar dan Kampung Makam. Memandangkan hari semakin petang dan terlalu letih, kami hanya lalu sahaja di tapak-tak bersejarah ini. Namun kami mengambil catatan tentang sejarah tapak-tapak ini. Kota Panchor dipercayai dibina oleh Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Kota ini terletak di atas tanah tinggi, terdapat kesan banteng lama disekeliling bukit yang mengadap arah sungai Johor. Warisan sejarah yang masih ada ialah makam Sultan Abdul Jalil dengan batu nesan Acheh, perigi lama dan bekas tapak istana. Bukit Seluyut pula pernah menjadi pusat pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1564-1570/ iaitu Sultan Johor ketiga. Disinilah juga Tun Mahmud atau Tun Seri Lanang dilahirkan. Peninggalan sejarah yang terdapat di Bukit Seluyut ialah tapak kota yang terdiri daripada banteng 3 tingkat , tapak istana yang berkemungkinan di tengah kota, makam tiga beranak, makam Raja Fatimah dan makan Sultan Muzaffar Shah. Batu Sawar menjadi pusat pemerintahan Melayu Johor pada tahun 1587 dibawah Sultan Ali Jalla Abdul Jalil sehingga tahun 1677 pada zaman Sultan Jalil Riayat Shah III. Terdapat makam Sultan Abdul Jalil Shah dan beberapa buah makam yang tidak dikenali dengan batu nesan Acheh.


Setelah selesai Solat di Masjid Kota Tinggi yang bersebelah dengan Muzium Kota Tinggi, kami mula bergerak ke Kampung Makam (2 km dari masjid). Di kampung Makam terdapat tiga tapak bersejarah itu Kompleks Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Makam Bendahara Tun Habab dan Kota Makam Tauhid. Makam kota Tauhid bukanlah sebuah makam tetapi nama ibu negeri Johor suatu masa dahulu. Makam Tauhid merupakan ibu negeri Johor yang ke 8 dan menjadi pusat pemerintahan sebanyak 2 kali. Kota Makam Tauhid dibina menggunakan bahan binaan Belanda memandangkan pada masa itu ada hubungan kerjasama diantara Johor dan Belanda. Kota makam Tauhid dibina dari batu dan terdapat sebuah pintu gerbang untuk memasukinya. Didalam dan luar terdapat makam yang tidak dikenalpasti tetapi bercirikan nesan Acheh.


Makam Sultan Mahmud dikenali sebagai Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Baginda merupakan keterunan terakhir Raja Fatimah dan cucu kepada Sultan Alauddin Riayat Shah II iaitu Raja Johor pertama yang membuka Johor Lama pada 1530. Baginda telah dibunuh oleh Megat Seri Rama yang dikenali sebagai Laksamana Bentan. Menurut cerita, Laksamana Bentan membalas dendam diatas kematian isterinya, Dang Anum. Kisah ini boleh ditonton dalam filem Melayu kelasik “Dang Anum” yang dilakonkan oleh Nordin Ahmad. Dengan mangkatnya Sultan Mahmud, keterunan dan salahsilah Kesultanan Melaka pun berakhir, seterusnya bermula pemerintahan berketerunan bendahara di Johor.

Kompleks Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang terdapat 15 buah makam dengan batu nesan Acheh. Hanya 5 buah makam dikenalpasti. Makam Sultan Mahmud mempunyai batu nesan yang tertinggi berbanding yang lain iaitu makam ke 7. Diluar kompleks juga terdapat kawasan perkuburan/makam bersejarah.

Pengembaraan Warisan Kota 1 berakhir di makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Kami bertolak ke Johor Bharu lewat petang. Malamnya kami bermalam di rumah Thuraiya. Pagi 2 hb kami ke Danga Bay, singgah sebentar untuk mengambil gambar rumah tradisional Johor, seterusnya bertolak ke Melaka Bandaraya Bersejarah. Banyak bahan dan maklumat yang perlu disimpan dan dicerakin sebelum balik ke Perak. Bermalam di Hotel Puri memberi istirehat yang bermakna, aku mengemaskini semua bahan dalam komputer riba. Terimakasih kepada Tn. Hj Shaari yang menaja penginapan di Melaka dan membawa kami berjalan menghayati warisan dan budaya peranakan negeri Melaka. Kami bertolak balik ke Perak jam 1 tengahari, pemanduan yang amat meletihkan. Selepas singgah solat dan makan di R&R Sungai Buluh, Min mengambilalih memandu kereta sehingga ke Seri Iskandar, tiba jam 7 malam. Syukur Alhamdulillah kami selamat kembali.


Kembara Warisan Kota di Pesisir Pantai Barat begitu mengujakan dengan kejutan pemandangan yang begitu mempersonakan. Menyusuri persisir bumi Semenanjung bagaikan meneroka semula masa silam lalu dengan sejarah dikembalikan melalui perkisahan dan bukti-bukti yang tersembunyi di kota-kota Warisan Melayu. Aku berharap dengan izin Allah s.w.t. agar dapat mendokumentasikan dan menulis semula warisan yang tidak ternilai ini.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.