Tuesday 16 June 2009

JURNAL KOTA WARISAN: Ipoh-Kuala Lumpur-Pekan

JURNAL: 30 Mei – 3 Jun 2009

Kembara Kota Warisan 1 – Pekan, Kuala Pahang, Rompin, Mersing, Johor Lama, Kota Tinggi

Kembara ini merupakan susulan daripada penyelidikan “Morforlogi Bandar Melayu Awal” yang dijalankan pada tahun 2006 semasa aku menjadi Felo Penyelidik Institut Peradaban Melayu, UPSI. Begitu teruja dengan penemuan penyelidikan, aku dan Kak Ros (penyelidik bersama) berazam untuk terus mencari dan meneroka kota dan bandar Warisan Melayu di Semenanjung Malaysia. Tulisan dan penemuan ini boleh dibaca dalam artikel prosiding Seminar Antarabangsa Permandiran Budaya Timur Laut, “Warisan Kota Dan Perbandaran Melayu: Pemikiran Dan Pengaruh Perancangan Bandar”. Kembara Kota Warisan 1 melibatkan perjalanan pesisir pantai barat. Terdapat dua buah bandar Melayu awal iaitu Pekan dan Johor Lama. Perjalanan ke dua bandar ini telah dirancang hampir setahun yang lalu. Hasrat ini asyik tertangguh disebabkan aku dan kak Ros terlalu banyak aktiviti. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk bergerak secara berasingan. Aku akan mengembara di daratan, kak Ros pula meninjau melalui alam siber. Hampir 3 bulan kami merancang laluan perjalanan, menentukan destinasi perhentian dan logistik termasuklah mencari kawan-kawan yang boleh ikut bersama. Alhamdulillah, akhirnya Min dan Azira dapat menyertai. Terimakasih diucapkan kepada Dato’ Dr. Adi Taha yang membuka jalan serta panduan untuk perjalanan ke Johor Lama, Tn. Hj Shaari Mat Sa’od yang banyak membantu semasa kami tersangkut diperjalanan, Dr. Zulkifli Mohamad yang menyengat cabaran, Pn. Thuraiya Mohd yang membenarkan kami bermusafir dirumahnya. akhirnya pada Min dan Azira yang menemani perjalanan dan membuat pengembaraan ini semakin menarik. Al-Fatihah kepada muloh Abdul Halim Nasir kerana mewariskan buku “Lembangan Sungai dalam Peradaban Melayu” dan “Kota Warisan”.

30 Mei 2009: Ipoh - Kuala Lumpur - Pekan

Perjalanan bermula jam 9 pagi. Pemanduan dari Lebuhraya Ipoh ke Karak bergerak tidak selaju yang aku nak memandangkan kapasiti kenderaan yang banyak disebabkan cuti sekolah. Dengan perjalanan lebih dari 450 km, kami tiba di Pekan jam 5 petang dan dukacita semua rumah penginapan dan hotel penuh. Tak de pilihan kami terpaksa bermalam di Kuantan. Alhamdulillah jam 10 malam baru dapat hotel.

Pekan merupakan bandar Diraja. Disinilah terletaknya istana Sultan Pahang. Bangunan bersejarah yang penting ialah Muzium Sultan Abu Bakar. Sayangnya semasa kami tiba bangunan ini sedang dibaik pulih. Bangunan ini berusia lebih seabad asalnya adalah istana kemudian dijadikan kediaman Residen Inggeris dan masa kini dijadikan muzium. Asalnya tapak ini adalah sebuah kota bersejarah. Dalam Sejarah Pahang ia disebut sebagai Kota Biram atau Kota Pahang. Bangunan-bangunan bersejarah lain yang terdapat termasuklah Rumah Rehat Chef di bina pada 1929 dan masih digunakan, Istana Mangga Tunggal dan Istana Leban Tunggal. Dari segi sejarah, Pekan adalah pusat pemerintahan raja-raja Pahang sejak abad ke-15 lagi. Tetapi hanya sebahagian kecil warisan sejarah dapat dikekalkan seperti makam Sultan Muhammad Syah I, makam Raja Radin di Kampung Makasar. Kami pergi ke kampung Makasar yang terletak 1 km dari istana. Memang terdapat makam di sini dan paling menarik ialah ciri-ciri seni bina rumah tradisional.

Bandar Pekan masih mewarisi beberapa kedai lama sehingga sekarang ini. Rumah-rumah kedai lama di Pekan menampilkan seni bina yang berubah mengikut transisi masa dan era yang berbeza dari 1800 hingga sebelum merdeka. Sepanjang deretan ini, kita dapat lihat gaya fasad yang berbeza dan unik. Sayang, tiada usaha pemuliharaan dilaksanakan.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.