Thursday 28 October 2010

STRUKTUR RUANG & LANDSKAP RUMAH TRADISONAL KELANTAN

Elemen dan karektor ruang persekitaran rumah tradisional Kelantan

Oleh

Prof Madya Dr. Siti Norlizaiha Harun
UiTM Perak
28 Oktober 2010


"Elemen dan karektor ruang persekitaran rumah tradisional Kelantan" merupakan salah satu kajian asas yang dibiayai oleh UiTM Perak bagi penyelidik muda di universiti. Walaupun berbentuk tinjauan awal bagi mendapatkan satu fenemonena yang membantu kepada pembentukan teori dan menjana kepada penyelidikan yang lebih khusus, penyelidikan ini telah berjaya memperolehi beberapa penemuan yang menarik. Bersama Azira Ibarahim, saya telah membuat ekspedisi masuk kampung atau bahasa mudah merayap ke kampung-kampung di Kelantan.

Amat menarik dan begitu berstruktur sekali morforlogi penempatan kampung-kampung terutamanya di kawasan Lembah Kelantan (Kampung Pulau Gajah, Pantai Dasar Sabak, Kampung Che Latif, Kuala Besar, Kampung Pengkalan Datu, Pantai Senok, Bachok, Kampung Kubang Kemasin, Perupok, Bachok, Kampung Semut Api dan Kampug Badang, Pantai Cahaya Bulan, Kampung Pasir Kota, Kota Bharu ). Perkampungan yang terletak di Lembah Kelantan mempunyai karektor atau ciri-ciri yang hampir sama dari segi morforlogi penempatan, landskap dan seni bina rumah. Penempatan rumah-rumah tradisi adalah bermula di muara sungai iaitu kawasan di antara sungai dan laut. Topografi kawasan ini adalah landai. Kawasan yang hampir dengan laut tanahnya berpasir manakala kawasan yang hampir dengan muara pula kawasannya adalah lembah dan berair. Penempatan di dua kategori topografi ini adalah perkampungan nelayan. Ciri-ciri rumahnya adalah rumah bertiang tinggi memandangkan kawasan ini berlaku pasang surut air. Seni bina rumah-rumah di kampung nelayan tidaklah mewah mungkin bersesuaian dengan taraf sosio ekonomi penduduk yang bekerja sebagai nelayan. Disamping itu, ciri-ciri penempatan yang padat menyebabkan tiada kepentingan atau sukar untuk meragam hias rumah.

Penempatan yang agak jauh dari sungai pula dipanggil perkampungan darat. Topografi kawasan ini juga lembah memandangkan hampir dengan sungai dan tanahnnya adalah tinggi ke arah kawasan berbukit. Kebiasaannya kawasan rendah ini adalah kawasan sawah padi yang dipanggil kawasan baruh. Kawasan yang lebih tinggi pula adalah kawasan dusun dan pokok getah. Ciri-ciri seni bina rumah kawasan darat lebih menarik atau lebih menonjolkan unsur-unsur seni bina rumah Melayu berbanding rumah-rumah di perkampungan nelayan. Rumah-rumah berbumbung panjang, bertiang tinggi, dinding rumah yang agak mewah dengan jenis kayu serta kerawang pada sisi angin dan bukaan tingkap. Rumah-rumah di perkampungan darat mementingkan kawasan peribadi atau sempadan. Hasil daripada kajiselidik di tapak, didapati hampir semua kediaman di perkampungan darat mempunyai ciri-ciri kediaman yang mempunyai halaman. Dengan rumah bersenibina tradisi berserta halaman yang menarik, pengulangan ciri-ciri yang sama pada setiap kediaman telah membentuk satu corak perkampungan tradisional yang mempunyai pemandangan yang indah. Pemandangan ini pula terjalin dengan ciri-ciri lanskap semulajadi seperti petak sawah, dusun buah-buahan, pokok-pokok getah, sungai dan bukit menghasilkan satu panorama perkampungan tradisional yang mempunyai keunikan budaya Melayu khususnya di negeri Kelantan.


Struktur ruang persekitaran rumah Melayu tradisi di perkampungan di Kelantan terbahagi kepada dua bahagian iaitu hadapan dan belakang. Sempadan kiri dan kanan kebiasaannya ruang sempit memanjang ke belakang. Pembahagian ruang yang lebih luas di hadapan dan di belakang berbanding kiri dan kanan kerana bentuk rumah Melayu tradisi adalah lebar dan sebahagian daripada ruang dalaman adalah untuk bilik. Bahagian hadapan rumah dikenali sebagai halaman atau laman. Ia merupakan kawasan ruang terbuka yang tidak dihalangi pandangan daripada jalan utama. Bahagian rumah ibu atau anjung mengadap halaman. Ciri-ciri yang umum yang dapat dilihat pada halaman rumah Melayu ialah halaman tidak berumput, pokok buahan seperti rambutan atau mempelam ditanam di halaman rumah, biasanya hanya sepohon. Terdapat juga pangkin kayu tempat berehat dan perigi.

Bahagian belakang rumah merupakan kawasan aktiviti penghuni dan sebahagiannya merupakan sumber ekonomi keluarga. Kawasan ini dibahagikan kepada beberapa struktur ruang iaitu kawasan kebun, kawasan dusun dan kawasan penternakan. Aturan sempadan untuk kawasan di belakang adalah bebas namun hasil daripada kajiselidik, senario ini adalah sama bagi kediaman-kediaman yang dipilih. Kawasan kebun ialah penanaman sayuran untuk makanan harian seperti kangkung, petola dan cili. Kawasan penternakan pula terdapat kandang lembu, kambing dan reban ayam dan itik. Bilangan haiwan juga sedikit atau seekor dua bagi tujuan belaan atau makanan keluarga. Kawasan dusun kebiasaannya terletak di struktur yang terakhir. Terdapat pelbagai jenis pokok buah-buahan ditanam seperti durian, rambutan, langsat, pisang dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.