Saturday 12 June 2010

PERKEMBANGAN SEJARAH DAN PENGARUH KE ATAS SENIBINA DI MALAYSIA: SEBUAH TINJAUAN RINGKAS

Pelajar-pelajar saya sering 'terlupa' tentang 'sejarah' apabila memulakan sebarang tugasan berkenaan konservasi warisan. Sejarah adalah hubungan yang paling akrab dengan warisan sama ada objek nyata atau yang mudah alih. Melalui sejarah banyak perkara yang tersurat dan tersirat dapat diterokai dan dipelajari dan ini membantu dalam kerja-kerja konservasi. Di sini saya sertakan semula artikel tersebut. Pastikan pelajar yang membuat sebarang kajian tentang warisan bermula dengan sejarah.

PERKEMBANGAN SEJARAH DAN PENGARUH KE ATAS SENIBINA DI MALAYSIA: SEBUAH TINJAUAN RINGKAS
Artikel diterbit dalam Buletin Perancang, JPBD, UiTM Perak, 2005

Oleh

DR. SITI NORLIZAIHA HARUN

Pengenalan
Sejarah merupakan sesuatu yang berkaitan dengan masa lepas dan diperolehi melalui bukti-bukti fizikal yang masih kekal. Sejarah dan perkembangan bidang pemuliharaan di Malaysia dapat dirujuk kepada kronologi perkembangan sejarah negara khususnya yang berkait dengan sejarah berbentuk fizikal yang masih kekal hingga hari ini seperti peninggalan tapak-tapak sejarah, monumen dan bangunan-bangunan lama. Sejarah amat sinonim dengan bidang pemuliharaan bangunan kerana untuk mengenal sesabuah bangunan maka perlu dikenali asal usul sejarahnya terlebih dahulu. Sejarah dan pengaruh ke ata senibina bangunan di Malaysia akan mengimbas kembali perkembangan sejarah negara melalui peristiwa dan tinggalan monumen sejarah yang masih kekal pada hari ini.

Seni bina Awal
Sejarah perkembangan tamadun dan petempatan awal di Tanah Melayu telah bermula pada awal abad pertama masihi. Beberapa kerajaan Melayu Tua seperti Funan, Campa, Ho-Lo-Tan, Langkasuka dan Kataha telah muncul di kawasan Asia Tenggara di Kembodia, Vietnam, Selatan Thai sehinggalah ke Tanah Melayu. Kataha dikatakan telah muncul sejak abad ke 6 hingga ke 13 dan pusat kerajaannya adalah di Lembah Bujang. Kataha atau Kedah Tua telah berkembang sebagai pelabuhan dan pusat kegiatan ugama Buddha dan Hindu.

Kesan peninggalan senibina zaman ini masih kekal di Lembah Bujang, Kedah. Candi dan artifak berunsur Hindu-Buddha menunjukkan masyarakat Kedah Tua pada abad itu telah mempunyai kepandaian membina bangunan. Contoh berkenaan dapat dilihat pada pelapik tiang sama ada untuk meletak tiang bangunan atau pelapik meletak arca. Teknologi binaan yang tinggi juga dapat dilihat, iaitu kepandaian masyarakat dahulu memotong batu yang keras seperti batu granit. (Wadiassofi Jaafar, 2000) Candi Lembah Bujang yang berusia lebih seribu tahun ini merupakan satu tapak tanah bersejarah yang penting untuk membuktikan satu persekitaran alam senibina yang terawal telah wujud di negara ini. Candi ini kini menjadi salah satu pusat penyelidikan bagi senibina awal dan sejarah berkembangan tamadun di Malaysia.

Seni bina Melayu
Agama Islam datang ke Tanah Melayu dan berkembang di Kepulauan Melayu selepas pengaruh Hindu mulai merosot pada abad ke 13 dan abad berikutnya. Kedatangan Islam telah memberi pengaruh besar kepada corak budaya hidup masyarakat pada masa itu. Pengaruh Islam banyak membentuk peradapan dan budaya masyarakat Melayu lebih bersederhana dan bersopan santun.

Senibina rumah Melayu dapat dilihat dengan teknologi binaan yang ringkas dan mudah menggunakan bahan-bahan dari alam semulajadi yang diperolehi dari hutan. Rumah Melayu boleh dilihat dengan ciri binaan dan bahan binaan seperti daun nipah, ijuk, rumbia dan bertam untuk atap atau bumbung. Kayu digunakan untuk struktur utama seperti tiang, alang, rasuk, lantai dan dinding. Lapik tiang pula diperbuat daripada batu. Rumah Melayu juga jarang menggunakan paku besi, biasanya hanya dipasak dengan kayu.

Susun atur rumah Melayu biasanya mempunyai 3 bahagian iaitu bahagian depan atau serambi, bahagian tengah yang disebut rumah ibu dan bahagian belakang yang dikenali sebagai rumah dapur. Bumbung rumah adalah curam dan unjurannya lebar bagi melindungi rumah dari tempias hujan dan sinaran lansung matahari. Badan rumah pula di penuh dengan bukaan jendela dan kekisi atau ukiran tebuk yang menggalakkan peredaran udara (Ezrin Arbi, 2002). Pembinaan rumah melayu yang agak tinggi memberikan satu ruang dibawah rumah. Kedudukan lantai yang tinggi dapat mengatasi kelembapan tanah disamping mencegah ruang ditenggelami air jika berlaku banjir. Ruang bawah atau kolong yang yang terbuka ini juga membolehkan peredaran udara dibawah lantai. (Abdul Halim Nasir dan Wan Hashim Wan Teh , 1997: 35)

Gaya senibina rumah Melayu pula mempunyai berbagai ragam hias atau motif ukiran dan bentuk binaan yang mengikut pengaruh negeri-negeri Melayu dan pengaruh Nusantara seperti Indonesia dan Selatan Thailand. Perbezaan gaya senibina elemen pada rumah dapat menjelaskan asal usul rumah tersebut seperti rumah bumbung panjang atau rumah Minangkabau biasanya terdapat pada rumah-rumah Melayu awal dan kini masih banyak terdapat di Melaka dan Negeri Sembilan. Rumah bumbung Limas kemudiannya merupakan ciri senibina yang popular dan terdapat hampir di seluruh perkampungan tradisional Malaysia. Selain dari rumah bumbung Limas, terdapat beberapa jenis rumah tradisional seperti Rumah Perabung Lima, Rumah Potong Perak dan Rumah Kutai.

Senibina rumah Melayu bukan sahaja unik dengan bentuk dan teknologi binaan malahan dapat mencerminkan budaya, falsafah hidup dan tamadun sesuatu bangsa. Setiap bentuk dan binaan mempunyai sebab dan maksud. Sebagai contoh, pembinaan rumah Melayu berpintu rendah bertujuan supaya setiap orang yang memasuki rumah akan menundukkan kepala bagi mengelakkannya terhantuk. Ia menjadi lambang kepada adab bersopan santun di samping sebagai tanda menghormati tuan rumah (Zarinah Sarifan, 2000).

Selain rumah kediaman, senibina Melayu turut dizahirkan ke atas binaan-binaan lain seperti masjid, istana raja-raja, rumah wakaf dan senibina makam atau pusara. Ciri-ciri senibina tradisional Melayu dapat dilihat pada bangunan-bangunan lama yang masih kekal seperti Istana Kenangan di Perak, Istana Balai Besar di Kelantan, Masjid Tengkera di Melaka dan sebagainya. Senibina Melayu yang indah ini bukan sahaja unik malahan memberi nilai estetika yang begitu tinggi dan seharusnya dipelihara untuk pengekalan identiti bangsa.

Seni bina Pengaruh Kolonial
Pengaruh kolonial memberi pengaruh dan kesan yang besar dari segi senibina dan rupa bandar, bandar-bandar di Malaysia. Peninggalan senibina Portugis, Belanda dan Inggeris memainkan peranan penting dari segi kesinambungan sejarah, perkembangan fizikal dan geografi rupa bandar. Bangunan-bangunan kolonial ini mempunyai gaya senibina yang unik disamping susun letak bangunan yang membentuk morforlogi awal rekabentuk bandar dan pada masa kini menjadi asas kepada tarikan dan imej kepada bandar-bandar seperti Bandar Bersejarah Melaka, George Town dan Taiping.

• Portugis
Apabila bandar Melaka ditakluki, Alfonso d’Alburquerque mengarahkan untuk membina kubu bagi menguatkan pertahanan. Kubu ini dikenali sebagai A Farmosa, dibina mengelilingi kota Melaka. Pembinaan kubu ini lengkap pada tahun 1548 menjadikannya salah sebuah bandar yang menyerupai kota bertembok era Mediavel di Eropah. Walau bagaimanapun kota ini telah dimusnahkan semasa pemerintahan Belanda dan hanya yang tinggal adalah pintu masuk sahaja. Selain pintu Farmosa, peninggalan Portugis yang masih kekal pada masa kini ialah gereja St. Paul. Sepanjang tempoh 130 tahun penaklukan, Portugis telah membawa masuk teknologi pembinaan batu dan kayu dan rekabentuk kubu pertahanan dan bangunan yang bercirikan gaya Eropah.

• Belanda

Belanda telah mengambilalih penjajahan Portugis pada tahun 1641. Walaubagaimanapun semasa Belanda mengambilalih, banyak bangunan telah dimusnahkan dan ditinggalkan rosak. Penjajahan Belanda juga telah membina dan meninggalkan bangunan-bangunan yang mempunyai gaya senibina yang menarik. Antara yang terkenal ialah monumen dan bangunan-bangunan berwarna merah seperti gereja Christ, bangunan Stadhyus dan menara jam.

• Inggeris

Pemerintahan Inggeris berlangsung dari 1795 hingga 1957. Dalam tempoh ini banyak bangunan kolonial telah dibina dibeberapa bandar utama di Malaysia seperti George Town, Ipoh, Kuala Lumpur, Taiping, Seremban, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching. Monumen pertama yang dibina Inggeris ialah kota pertahanan iaitu Kota Cornwallis semasa penapakan Franchis Light di Pulau Pinang pada tahun 1786. Penjajahan Inggeris juga telah membawa perubahan yang besar kepada rupa bandar pada ketika itu. Inggeris telah menerapkan kegiatan perancangan yang lebih teratur pada bandar-bandar yang dibuka bagi tujuan keselesaan penduduk. George Town tahun 1801, merupakan bandar pertama yang mempunyai perancangan iaitu pembinaan jalan dan parit disekitar bandar termasuklah bangunan-bangunan institusi pentadbiran dan awam yang dirancang dengan teratur. Pembukaan tanah untuk bandar-bandar pentadbiran dan kediaman Inggeris adalah berdasarkan faktor bahan mentah iaitu bijih timah dan getah selain daripada faktor peluasan pentadbiran. Keadaan ini mewujudkan pertumbuhan yang pesat dari segi fizikal dengan binaan bangunan-bangunan berdasarkan rekabentuk barat.. Rekabentuk barat lebih ringkas iaitu pada ukiran dan motif di dinding bangunan terutamanya disekeliling tingkap, tiang besar (column) dan gerbang lengkung (arch). Pengaruh melalui elemen-elemen ini dapat dilihat pada pelbagai jenis bangunan seperti bangunan institusi dan pentadbiran, rumah kediaman, gedung perniagaan dan bangunan keugamaan.

Rekabentuk bangunan dan gaya senibina bangunan barat mempunyai keunikan tersendiri dari segi latarbelakang negara kolonial dan era atau zaman gaya senibina itu muncul. Walau bagaimanapun selain dari pengaruh barat terdapat juga pengaruh senibina Timur yang menyumbangkan satu kombinasi gaya senibina yang unik dan agak mewakili resam atau budaya masyarakat tempatan. Dengan kedatangan Inggeris, senibina Islam-Moghul dan ilmu handasah1 untuk membentuk kubah, serta batu-bata dan atap genting sebagai bahan binaan dibawa masuk melalui arkitek Inggeris. (Wan Ramli Wan Daud, 2000:260)

Pengaruh senibina Inggeris amat berpengaruh bukan hanya pembinaan pejabat, institusi dan rumah kerajaan yang sepenuhnya direkabentuk dan dibina dengan gaya Inggeris malahan pengaruh gaya Inggeris juga turut mempengaruhi senibina istana raja-raja Melayu dan masjid pada masa penjajahan Inggeris. Perubahan yang paling ketara ialah munculnya masjid konkrit berbumbung lima. Antara masjid yang mula menggunakan bumbung perabung lima ialah Masjid Melayu Lebuh Acheh, Pulau Pinang, dibina pada tahun 1808 Masihi. (Othman Mohd Yatim dan Abdul Halim Nasir, 2000)

Gaya senibina barat yang umum terdapat di Malaysia adalah Moorish, Tudor, Neo-Klassik dan Neo Ghotik. Pengaruh senibina barat dapat dilihat pada bangunan-bangunan kolonial di Malaysia seperti senibina Neo-klasik pada Bangunan Majlis Perbandaran Pulau Pinang, di bina pada tahun 1897. Senibina Moorish dapat dilihat keunggulannya pada Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. Bangunan yang dibina antara tahun 1894 dan 1894 ini juga mempunyai pengaruh senibina Islam yang mendapat inspirasi dari gaya senibina Moghul yang terdapat di Utara India. Gaya senibina Tudor dapat dilihat pada Bangunan Kelab Selangor. Gaya Senibina Neo-Ghotic pula dapat dilihat pengaruhnya pada bangunan-bangunan gereja seperti gereja Holy Rosary, Kuala Lumpur, dibina pada tahun 1903.

Pengaruh Pendatang China dan India

Selain daripada pengaruh kolonial, pengaruh yang dibawa oleh kaum pendatang seperti China dan India sedikit sebanyak telah membentuk rupa fizikal bandar-bandar di Malaysia. Pengaruh pendatang China khususnya di Melaka telah bertapak pada abad ke 14 lagi. Pada abad ini, kerajaan Melaka telah pun mempunyai hubungan perdagangan dengan negara China. Pada tahun 1403, maharaja China telah menghantar utusan diplomatik ke Melaka dan menjalankan hubungan perdagangan. Seterusnya kedatangan Islam telah mempengaruhi dan menukar gaya hidup masyarakat Melayu Melaka dari segi pentadbiran negara, budaya dan senibina. Di antara pengaruh yang dapat dilihat ialah bahan binaan dan gaya senibina untuk membina bangunan. Bahan binaan pertama yang diimport masuk ke Melaka ialah genting tanah liat pada tahun 1409 bagi membina kediaman istana . Pengaruh pendatang pada abad ini dapat dilihat pada masjid di Melaka seperti Masjid Tengkera, di mana hiasan dan ukiran dibahagian hujung atau puncak masjid seperti rumah berhala Cina tetapi motif ini diabstrakkan dengan alam flora bersesuaian dengan agama Islam.

Kejatuhan empayar Melaka pada abad ke 15 dan penaklukan penjajah Portugis telah turut menghentikan kesinambungan hubungan perdagangan Melaka dengan negara-negara jiran. Semasa pemerintahan Inggeris, pendatang China dan India telah dibawa masuk ke Tanah Melayu bagi mengusahakan aktiviti ekonomi. Pada awal tahun 1870an hingga 1880an kaum pendatang telah membina rumah-rumah kedai bagi menempatkan bahan-bahan perniagaan. Gaya senibina rumah kedai yang dibina pada era ini dikenali sebagai rumah kedai awal yang masih terdapat dibberapa bandar di Malaysia seperti di Gopeng dan Batu Gajah di negeri Perak. Dari tahun 1900 hingga 1940an banyak rumah kedai telah dibina dengan gaya senibina yang menerapkan unsur-unsur tempatan dan pengaruh kolonial. Terdapat 3 gaya sebina yang mempengaruhi rekabentuk rumah kedai iaitu Era Peralihan, gaya Electic dan gaya Art Deco (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).

Pengaruh India tidak banyak mempengaruhi dari segi senibina bangunan di Malaysia. Pendatang India banyak mendirikan kuil-kuil agama Hindu yang banyak menyerupai bentuk senibina seperti kuil Hindu di India. Namun begitu pengaruh senibina Selatan India, banyak mempengaruhi binaan masjid. Masyarakat India Selatan yang berugama Islam yang disebut sebagai Klings atau Keling lebih suka dengan gaya senibina Islam mereka. (Vlatseas, S, 1990: 49) Masjid Kapitan Kling (1802-1803), Pulau Pinang salah satu contoh senibina Selatan India, di bina oleh ketua masyarakat India Muslim atau Kapitan. Senibina India Muslim ini jelas kelihatan pada minaret yang tinggi dan kubah potong bawang.


Penutup
Melalui paparan ringkas peristiwa sejarah dan perkembangan yang telah berlaku pada negara dapatlah dirumuskan kronologi sejarah sesebuah negara dapat dilihat melalui bangunan-bangunan lama yang masih kekal. Bangunan-bangunan ini amat bermakna dan memberi kesan yang nyata dari segi fizikal bandar dan kesan emosi kepada masyarakat. Ia merupakan bukti yang tertera atas kemahiran, kemajuan, budaya dan tamadun sesuatu bangsa. Bangunan-bangunan bersejarah yang masih kekal ini bukan sahaja penting untuk generasi kini malahan sebagai rujukan untuk generasi akan datang. Adalah diharapkan melalui tinjauan ringkas ini ia dapat memberi pengetahuan dan imbasan kembali sejarah negara Malaysia di samping dapat meneroka keunikan senibina bangunan bersejarah.

Rujukan
A Ghafar Ahmad.(1997). British Colonial Architecture in Malaysia 1800-1930, Kuala Lumpur: Museums Association of Malaysia
Abdul Halim Nasir dan Wan Hashim Wan Teh. (1997). Warisan Senibina Melayu, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ezrin Arbi. (2002). Sejarah Perkembangan Seni Bina di Malaysia: Sebuah Tinjauan Ringkas. Kertas kerja dibentangkan di Bengkel Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah, Hotel Century Mahkota, Melaka, 7-12 Oktober.
Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, ed. (1998). The Encyclopedia of Malaysia: Early History, Kuala Lumpur: Archipelago Press.
Othman Mohd Yatim dan Abdul Halim Nasir.(2000). Senibina Melayu Islam: Pengaruh Agama dalam Alam Bina dalam Tamadun Islam di Malaysia (Mohd Taib Osman dan A.Aziz Deraman, ed), 339-387, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka..
Syed Zainol Abidin Idid. (1995). Pemuliharaan Warisan Rupa Bandar,Kuala Lumpur: Badan Warisan Malaysia.
Vlatseas, S.(1990). A History of Mlasian Architecture, Singapore: Longman.
Wadiasofi Jaafar. (2000). “Lembah Bujang Simpan Sejarah Kedah”, Berita Harian, 12 Ogos, 1.
Wan Ramli Wan Daud. (2000). Teknologi Melayu: Melani Ragam Hidup Sepanjang Zaman dalam Tamadun Islam di Malaysia (Mohd Taib Osman dan A.Aziz Deraman, ed.), 247-286, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Yeang, K. (1992). The Architecture of Malaysia, Kuala Lumpur: The Pepin Press.
Zarina Sarifan. (2000).”Senibina Tradisional Malaysia”, Berita Jabatan Muzium dan Antikuiti, Vol.1/Bil.1, 10-11

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.