Saturday, 22 August 2009

WARISAN KOTA & PERBANDARAN MELAYU

WARISAN KOTA DAN PERBANDARAN MELAYU:
Pemikiran Dan Pengaruh Perancangan Bandar


Oleh

DR. SITI NORLIZAIHA HARUN
norliharun@gmail.com

Semenanjung Tanah Melayu telah melalui sorotan sejarah yang amat panjang. Bermula dari Petempatan awal dan kewujudan Kerajaan Melayu Awal yang hebat di Kepulauan Melayu sehinggalah kedatangan Islam pada abad ke 13. Sememangnya pada ketiga-tiga era ini telah ada corak petempatan dan perbandaran di Semenanjung Tanah Melayu. Penemuan bekas kota-kota Melayu merupakan bukti yang kukuh kepada aktiviti perancangan dan pembinaan kota oleh Raja-raja Melayu pada era tersebut. Seterusnya ide perbandaran juga dibawa masuk oleh penjajah barat ke Tanah Melayu. Penjajahan selama hampir 4 abad telah memberi pengaruh dan kesan khususnya kepada bentuk bandar Melayu. Hasil daripada kajian sejarah, ciri-ciri bentuk bandar di Semenanjung Tanah Melayu semenjak kurun ke 13 hingga ke 18 boleh diklasifikasikan kepada lima katogari iaitu petempatan awal sebelum kurun ke 13 masihi, kerajaan dan bandar Melaka, kota-kota Melayu, bandar Melayu Awal yang dibina oleh Raja Melayu dan bandar Kolonial. Melalui pembentukan kategori ini, susur galur sejarah petempatan dan perbandaran Melayu dapat dilakarkan. Kebijaksanaan pemimpin Melayu terdahulu memilih tapak untuk membina kota dan bandar tidak dapat dinafikan dan sumbangan yang telah mereka tinggalkan pada masa kini menjadi bukti kehebatan tersebut. Bukan hanya bukti fizikal seperti monumen dan bangunan bersejarah tetapi apa yang lebih istimewa ialah pemikiran dan budaya yang mereka citrakan pada setiap kota dan bandar yang mereka bina. Kertas kerja ini akan membentangkan ciri-ciri dan prinsip perbandaran pada setiap kategori berpandukan kronologi era.

PENGENALAN
Sejarah perkembangan petempatan dan pembinaan bandar di Semenanjung Tanah Melayu telah wujud melalui kebijaksanaan peneroka zaman silam merancang dan menyusun atur kota mereka. Ciri-ciri kota yang dibina oleh raja – raja Melayu pada kurun ke 7 membuktikan pada masa itu telah ada satu pemikiran dan ide membina kota yang mana kesamaan dapat dilihat pada ciri dan elemen-elemen yang terdapat didalam kota. Tradisi membina kota telah berkembang kepada bentuk bandar yang lebih bercorak dan berstruktur tanpa bersempadankan tembok pada awal kurun ke 17. Pada era ini aspek-aspek perancangan dan susunatur bandar yang terancang mula wujud. Bermula dengan kota dan istana, elemen fizikal yang lainnya berkembang selaras dengan perkembangan pentadbiran dan pertambahan penduduk. Walaupun Tanah Melayu dijajah oleh bangsa Eropah, bandar-bandar yang dibina oleh Sultan dan Raja Melayu langsung tidak dipengaruhi oleh pemikiran Eropah. Ini dapat dilihat dari aspek bangunan dan susuatur elemen. Walau bagaimanapun unsur-unsur seni bina dan teknologi binaan dimanafaatkan sepenuhnya dengan terbinanya istana, masjid dan bangunan kerajaan yang hebat dan indah. Sultan dan Raja Melayu bagaikan tidak mengizinkan budaya yang menyentuh agama dan adat resam bersekongkol didalam kota dan bandar mereka. Perbezaan ciri bandar ini dapat dilihat antara bandar Melayu Awal yang dibina oleh Sultan dan bandar yang dibina oleh British. British dengan misi agamanya membina gereja dan biara disetiap bandar yang dibina manakala bandar Melayu awal seperti Kota Bharu dan Alor Star, mercu tanda yang paling menonjol adalah masjid dan istana.

Apabila British memerintah, tumpuan mereka lebih kepada penerokaan sumber mentah di seluruh tanah Melayu, tanah-tanah dibuka dan banyak bandar British muncul seperti Georgetown, Kuala Lumpur, Ipoh dan Taiping. Pemikiran perancangan di British dibawa masuk dengan pembinaan bandar yang lebih teratur. Bentuk bandar British terbahagi kepada dua bahagian, kawasan pentadbiran yang formal dan kawasan perniagaan. Bandar Melayu Awal pula kedudukannya adalah di muara atau kuala sungai dan bentuk bandarnya adalah memancar dari pusat bandar yang kebiasaanya terdiri dari tiga elemen bandar iaitu istana, masjid dan padang. Ketiga-tiga elemen ini menjadi asas yang kuat dalam perancangan bandar Melayu. Ia menujukkan satu prinsip hubungan antara agama, pemerintah dan rakyat. Maksud rakyat adalah diterjemahkan dengan tempat (place) ‘rakyat’ berkumpul iaitu padang. Padang satu kawasan luas untuk rakyat beraktiviti, hampir dengan masjid dan menjadi sebahagian kawasan limpahan jemaah ketika solat.

Kertas kerja ini ini berusaha untuk menjelas dan menonjolkan ciri dan perbandaran Melayu dalam aspek perancangan bandar. Jika sebelum ini pemikiran perancangan dianggap sememangnya bermula dari British, walhal orang-orang Melayu dahulu juga mempunyai pemikiran merancang. Salah satu aspek yang jelas ialah pemikiran dan perancangan memilih tapak untuk kota dan bandar, mereka juga bijak memilih lokasi dan menyusun kota mereka. Bagi mendapatkan satu gambaran yang jelas setiap perkembangan, sejarah petempatan dan bentuk bandar boleh dibahagikan kepada 5 kategori iaitu petempatan awal, Melaka, Kota Melayu, Bandar Melayu Awal dan Bandar Kolonial

PETEMPATAN AWAL
Sejarah perkembangan tamadun dan petempatan awal di Semenanjung Tanah Melayu telah bermula pada awal kurun pertama masihi. Beberapa kerajaan Melayu Tua seperti Funan, Campa, Ho-Lo-Tan, Srivijaya, Langkasuka dan Kataha telah muncul di kawasan Asia Tenggara di Kambodia, Vietnam, Selatan Thai, Sumatera sehinggalah ke Semenanjung Tanah Melayu. Kataha atau Kedah Tua telah muncul sejak kurun ke-6 hingga ke-13 dan pusat kerajaannya adalah di Lembah Bujang. Kataha terletak di utara Semenanjung Tanah Melayu telah berkembang sebagai pelabuhan dan pusat kegiatan ugama Buddha dan Hindu. Bentuk petempatan yang ditemui mempunyai ciri-ciri kota India yang lebih bersifat kesenian dan keagamaan. Candi dan artifak berunsur Hindu-Buddha merupakan kesan peninggalan kerajaan tua yang masih kekal di Lembah Bujang, Kedah. Jumpaan Candi Bukit Batu Pahat yang berusia lebih seribu tahun merupakan satu bukti sejarah yang jelas menunjukan perancangan tapak petempatan awal telah wujud di Semenanjung Tanah Melayu. Kedah boleh dianggap sebagai petempatan yang paling penting di Semenanjung Tanah Melayu semasa kurun ke-3. Pengkalan Bujang merupakan sebuah pusat pemerintahan dan pelabuhan penting di Kedah sebelumnya wujudnya pelabuhan Melaka pada kurun ke 15. Pelabuhan ini terletak di muara Sungai Merbok berkedudukan pada lokasi yang strategik laluan masuk ke Selat Melaka, mempunyai tempat berlabuh yang dalam dan tersembunyi, dan mudah dipertahankan jika diserang lanun.

Ciri-ciri petempatan semasa kerajaan tua di Semenanjung Tanah Melayu melalui penemuan sejarah dan arkeologi boleh dipetakan sebagai kawasan-kawasan petempatan yang berasaskan bentuk-bentuk kebudayaan dan keugamaan Hindu-Buddha. Mempunyai kawasan yang luas dan maju dari aspek teknologi dan sosio ekonomi. Pada kawasan atau tempat ini telah terbina tapak-tapak kerajaan dan berlaku aktiviti pertukaran barangan import dan eksport. Hipotesis ini terbukti dengan penemuan petempatan kerajaan Melayu awal di Lembah Bujang, penemuan seramik buatan China di Sungai Mas telah membuktikan telah berlaku hubungan perdagangan dengan negara China. Kawasan di sekitar Sungai Mas juga merupakan kawasan yang subur dengan penanaman padi dan menjadi salah sebuah kawasan pengeluar beras yang utama di negeri Kedah.

Ciri-ciri rekabentuk bandar pula sukar dikesan memandangkan pengaruh zaman Hindu-Buddha ini lebih tertonjol kepada seni bina candi-candi. Rekabentuk petempatan awal mungkin terbina atas dasar kehendak raja-raja yang memerintah pada ketika itu. Ciri-ciri bentuk bandar yang lebih bersempadan digambarkan dalam Sejarah Melayu iaitu penemuan kesan tapak-tapak kota yang banyak sekali khsusnya di negeri Kedah. Sejarah Kedah ada mencatatkan bahawa di Kota Langkasuka itu lah bermulanya pembinaan kota dan istana raja Melayu. Kota Langkasuka dibina pada sekitar tahun 630 Masihi (Tahun 9 H). Kota tersebut dibina daripada tanah yang di tambak. Didalamnya didirikan bangunan istana raja, balai-balai, bangunan-bangunan penting dan kota tersebut mempunyai tiga pintu gerbang. Di sekeliling kota ini terdapat rumah-rumah rakyat jelata. Selain Kota Langkasuka, Kota Gangga Negara di Perak merupakan salah satu kota Melayu dibina sebelum kedatangan Islam. Walau bagaimanapun kedudukan sebenar kota ini masih menjadi bahasan. Ia dianggap sebagai kota terakhir keindiaan di Lembah Kinta sebelum petempatan Islam awal muncul di Beruas.

Menurut Abdul Halim Nasir (1993), dalam naskah Melayu lama, perkataan kota sering dikaitkan dengan istana raja-raja Melayu kerana apabila seseorang raja Melayu membuka sebuah negeri yang baru, raja tersebut akan mengarahkan rakyatnya mendirikan istana yang berkota. Raja-raja Melayu menggunakan kota sebagai pusat pertahanan, pusat pentadbiran dan pemerintahan di samping sebagai tempat tinggal atau tempat bersemayam raja-raja memerintah. Faktor institusi raja menurut Mumford (1966) boleh disamakan dengan ‘institusi kerajaan’ kerana insitusi ini menjadi agen utama yang merubah perkampungan kepada perbandaran. Faktor ini akan ditinjau pada perkembangan perbandaran seterusnya pada kota Melayu selepas kedatangan Islam

MELAKA
Mengikut Sejarah Melayu, Negeri Melaka telah dibuka oleh Parameswara, putera dari Palembang. Beliau berketurunan daripada Raja-raja Sailendra yang pernah memerintah Kerajaan Srivijaya. Parameswara tiba di Melaka pada 1400. Pada ketika itu Melaka adalah sebuah perkampungan nelayan yang kecil. Sebelum membangunkan Melaka, Parameswara terlebih dahulu membangunkan Muar. Menurut penelitian dari Ezrin Arbi (1986), sebab-sebab yang mungkin telah mempengaruhi Parameswara untuk memilih tempat itu sebagai negeri adalah seperti berikut; seperti juga Muar, iaitu perkampungan yang dibangunkan oleh beliau sebelumnya, Melaka pun mempunyai beberapa kelebihan kerana letaknya di muara sebuah sungai, serta kedudukan yang elok dari segi kemungkinan perdagangan di Selat Melaka. Malah ia mempunyai potensi yang lebih baik bagi suatu permukiman yang terpusat, pertahanan dan pertanian. Ini adalah kerana Melaka mempunyai sumber air yang cukup, berhampiran dengan bukit-bukit yang strategik dan dikelilingi oleh dataran yang luas.

Melaka dibawah pemerintahan Parameswara telah masyur dengan pantas. Parameswara telah menjadikan Melaka sebagai pelabuhan enterpot, iaitu pusat membeli dan menjual barang dagangan. Untuk menjamin keselamatan Melaka, Parameswara telah membina kediaman baginda di atas bukit yang berdekatan dengan muara Sungai Bertam. Ini memudahkan baginda mengawasi kegiatan perdagangan di Selat Melaka. Melaka juga menjalinkan hubungan dengan kuasa luar seperti Kerajaan Siam. Bagi memastikan hubungan yang baik, Sultan Melaka menghantar ufti kepada keraajan Siam. Melaka juga menjalinkan persahabatan dengan negara China. Ini menjadikan Melaka sebagai pusat perdagangan yang semakin makmur bukan sahaja dari benua Asia malahan pedagang dari bumi Arab dan Eropah turut datang berdagang. Selain sebagai pusat perdagangan yang terunggul dan kaya, Melaka juga adalah pusat penyebaran agama Islam yang penting pada abad ke 15. Kemakmuran ini lah menyebabkan portugis benar-benar ingin menakluki Melaka. Portugis ingin menguasai laluan perdagangan di bahagian timur di samping memperluaskan kuasanya di negeri-negeri bahagian ini. Selain faktor kuasa perdagangan, Portugis juga ingin memusnahkan Melaka sebagai pusat penyebaran agama Islam dan menggantikannya sebagai pusat pengembangan agama Kristian di timur.

Selama lebih satu abad kerajaan Melayu Melaka berdaulat di bumi Melaka, tidak pernah disebut-sebut dalam apa juga catatan tentang kegiatan raja-raja Melaka dalam tradisi pembinaan kota. Ini mungkin raja-raja yang memerintah Melaka tidak berpindah dan menggunakan istana Melaka di atas Bukit Melaka (sekarang Bukit St.Paul) sebagai pusat pemerintahan secara turun tumurun. Kompleks kota wujud apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511. Kota Portugis di Melaka dibina daripada bahan batu dan batu bata yang dikutip daripada batu-batu masjid sultan dan juga batu-batu nisan di kompleks makam diraja yan diruntuhkan oleh Portugis. Istana Melaka dikatakan di bakar dan dipuncak bukit didirikan gereja St. Paul sebagai simbol pertapakan Kristian.

Dari segi bentuk bandar, terlalu sedikit penulisan yang tepat berkenaan morforlogi bandar Melaka semasa pemerintahan Sultan. Dalam Sejarah Melayu, terdapat enologi “maka masyurlah dari bawah angin datang ke atas angin, bahawa negeri Melaka terlalu besar, shahadan rajanya daripada bangsa anak cucu Raja Iskandar Dzul-Karnain”. Sejarah Melayu juga memperihalkan bandar Melaka dibelah oleh sungai Melaka menjadi dua bahagian yang dihubungkan oleh sebuah jambatan kayu. Sungai itu tak ubahnya berfungsi sebagai ‘lebuh raya utama’ yang penuh dengan lalulintas perahu dan sampan yang di satu pihak menghubungkan bandar dengan pendalaman serta dilain pihak dengan kapal-kapal dan perahu-perahu besar yang berlabuh ditepi laut tiada berapa jauh dari muara sungai.

Catatan berkenaan bentuk bandar Melaka banyak merujuk kepada rekod-rekod Portugis dan pedagang dari negara China seperti Ma Huang (1433) dan Kung Chen (1434). Catatan Ma Huang memperihalkan pusat pentadbiran dibina di tebing Sungai Melaka iaitu kawasan di cerun bukit. Ma Huang menulis Sungai Melaka mengalir di depan istana sebelum memasuki laut. Daripada catatan ini, pusat pentadbiran yang dimaksudkan adalah istana Sultan Melaka, pada masa kini ia adalah kawasan Bukit St. Paul. Semasa lawatan Ma Huang, pada ketika itu telah ada lebih dari dua puluh kapal yang menyusuri sungai dan semua aktiviti perniagaan komoditi berjalan di situ. Penjajahan Portugis telah memberi impak yang besar ke atas lanskap bandar Melaka. Alfonso d’Alburqueque telah membina kota pertahanan yang dikenali sebagai A Famosa. Pembinaan kubu ini lengkap pada

KOTA-KOTA MELAYU
Corak petempatan dan perbandaran Melayu boleh dilihat dari dua suasana iaitu perkembangan perbandaran semasa kurun awal kedatangan Islam dan kemunculan perbandaran semasa era kejatuhan Melaka. Dalam konteks penyelidikan ini perbandaran bermaksud bandar dan diertikan dengan istilah kota. Dari segi bahan-bahan penulisan dan catatan sejarah, sangat sedikit keterangan yang boleh didapati tentang bandar-bandar Melayu sebelum munculnya Melaka. Kisah-kisah sejarah raja-raja Melayu banyak menyentuh aspek sistem pemerintahan dan sosio budaya. Pembinaan bandar atau rekabentuk fizikal yang awal lebih berbentuk keperluan institusi raja dan dikenali sebagai kota atau kubu. Perbezaan maksud kedua-dua istilah ini dilihat dari segi fungsi pembinaan. Kubu lebih bermaksud pertahanan semata-mata manakala kota adalah tempat pentadbiran dan kediaman raja, dan ia boleh juga berfungsi sebagai pertahanan. Penulis mengaitkan corak rekabentuk fizikal adalah pembinaan kota semasa ini adalah kerana pandangan ini boleh dikaitkan dengan kisah dan lagenda masyarakat Melayu yang sering menceritakan bahawa sesabuah negeri itu dilengkapi dengan kota paritnya dan berfungsi sebagai pusat pemerintahan, tempat bersemayam raja-raja, pembesar-pembesar negeri dan kegiatan ekonomi dan sosial masyarakat. Bukti-bukti fizikal sperti struktur kota dan seni bina bangunan-bangunan dalam kota banyak ditemui di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia.

Pembinaan kota oleh raja-raja Melayu telah bermula sejak kurun ke 7 dan berkhir pada awal kurun ke 19 apabila penjajah British menguasai negeri-negeri di jajahan Tanah Melayu. Pembinaan kota-kota Melayu sememangnya mempunyai kaitan dengan berbagai masalah pemerintahan tradisi raja-raja Melayu dan orang-orang besar. Pembinaan kota sama ada untuk pusat pertahanan, pusat pemerintahan atau pun gaya tradisi keagungan tamadun orang Melayu. Pembinaan kota boleh dianggap tradisi raja-raja di negeri-negeri Melayu. Tradisi ini wujud apabila berlaku pertukaran pemerintahan baru dan pembukaan kawasan atau negeri baru. Malahan pada satu-satu masa di sesabuah negeri terdapat beberapa buah kota. Tradisi ini bukan sahaja dilakukan oleh raja-raja malahan pembesar negeri juga mempunyai kota seperti Kota Ngah Ibrahim dan Kota Long Jaafar di Taiping adalah kota milik seorang pembesar dan pedagang bijih timah.

Rekabentuk dan pembinaan kota-kota Melayu mengalami perubahan dari segi bahan binaan mengikut era-era pembinaan. Kota-kota pada kerajaan Melayu Tua seperti di Kedah dan Perak, bentuk kota lebih berbentuk kubu-kubu yang dibentuk dengan batas-batas tanah yang tinggi, kota-kota Melayu pada kurun ke 15 dibina dengan menggunakan batu-batu pejal yang disusun dengan rapi dan kemuncak kehebatan pembinaan kota ialah binaan dinding kota disusun dengan ikatan bata merah dan dinding dilepa dengan bahan perekat seakan simen. Seni bina kota Melayu amat ringkas, bentuk segi empat dan dikelilingi parit. Lokasi dan kedudukan kota-kota Melayu terletak di kawasan berhampiran sungai dan ada juga yang terletak di kawasan tanah tinggi. Kota-kota yang dibina berhampiran dengan sungai (kuala sungai), selalunya disebabkan sungai merupakan laluan perhubungan dan pintu masuk perdagangan, rujuk rajah 3(a) dan 2(b). Kota-kota yang terletak diatas bukit seperti Kota Lukut (rujuk rajah 4), Kota Raja Mahadi dan Kota Malawati, ini membolehkan pengawal dan pembesar dapat melihat pemandangan yang terang terhadap lalu-lintas kapal-kapal di laut yang berhampiran disamping menjamin keselamatan kota. Boleh dikatakan kota-kota dan kubu-kubu Melayu yang dibina sepanjang abad ke-15 hinggalah akhir abad ke-17 mempunyai ciri-ciri pertahanan kerana semasa itu, kerajaan Melayu sering menerima ancaman dari musuh khususnya dari Siam dan Portugis. Selain berparit, dinding kota juga dibina dua lapis dan disekeliling tembok kota diletakkan meriam.

Kejatuhan bandar Melaka dalam tahun 1511, telah membawa kepada kemunculan dua kerajaan Melayu iaitu Kerajaan Johor dan Kerajaan Perak. Kedua-dua kerajaan ini telah berusaha menawan semula Melaka dari Portugis. Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka yang terakhir berpengkalan di Johor telah menentang Portugis sebanyak dua kali (1535-1536) namun gagal. Zaman kegemilangan kerajaan Melayu Melaka berakhir dengan pemerintahan Portugis selama 130 tahun (1511-1641). Hasil dari penemuan bekas tapak-tapak kota di seluruh Semenanjung Tanah Melayu jika dibandingkan antara Melaka dengan negeri-negeri Melayu, Melaka tidak mempunyai kota selain kawasan istana yang didirikan di atas bukit tambahan pula semenjak penaklukan Portugis, keseluruhan bandar Melaka adalah kawasan pertahanan Portugis. Penaklukan Portugis dari segi geografi tidak meliputi keseluruhan semenanjung memandangkan semasa itu Melaka adalah sebuah negeri yang besar. Dalam tempoh penaklukan Portugis, negeri-negeri Melayu seperti Kedah, Kelantan, Trengganu, Pahang dan Selangor turut mengalami perkembangan politik masing-masing. Berlaku peperangan antara raja-raja dan negeri-negeri melayu dan secara tidak langsung pembinaan kota-kota baru juga berlaku.

Tradisi membina kota berakhir pada kurun ke 19. Kedatangan penjajah yang bersilih ganti dari Potugis kepada Belanda seterusnya British telah memberi kesan kepada perbandaran khsusnya ibu kota negeri-negeri Melayu. Peningkatan aktiviti perdagangan dan kesibukan pelabuhan di beberapa buah negeri di Semenanjung Tanah Melayu telah memperkenal dan mengukuhkan ibu kota negeri-negeri Melayu. Boleh dikatakan kesemua ibu kota atau pusat bandar baru ini terletak di kuala atau muara sungai. Bandar-bandar kuala yang muncul dan masih kekal seperti Kota Bharu, Kuala Trengganu, Kuala Dungun, Pekan, Johor Lama, Kelang, Kuala Kangsar dan Kota Setar. Bandar-bandar ini boleh dikategorikan sebagai bandar Melayu awal kerana dari segi susunaturnya agak terancang dan lebih menggambarkan ciri-ciri sebuah pusat bandar..

BANDAR MELAYU AWAL
Pertumbuhan bandar-bandar Melayu awal ini asasnya bermula dari kampung, namun faktor lokasi yang berhampiran sungai menjadikan ia kawasan strategik untuk laluan pengangkutan, bekalan sumber air termasuklah aktiviti pelabuhan dan perdagangan telah meningkat dan mengukuhkan lagi bandar-bandar yang tumbuh di kuala sungai ini sebagai pusat bandar. Bandar-bandar yang tumbuh di kuala sungai antaranya Kota Bharu, Kuala Trengganu, Alor Setar, Johor Lama, Pekan, Kuala Dungun dan Kelang. Bandar-bandar ini dibuka oleh raja-raja Melayu seperti Kota Bharu dibuka oleh Sultan Muhammad II pada tahun 1844, kawasan ini juga mengandungi bangunan-bangunan utama yang besar dan tersergam indah seperti istana, masjid, rumah pembesar dan balai-balai. Rupa tanah (figure-ground) bandar-bandar kuala di negeri-negeri Melayu mempunyai ciri-ciri yang hampir sama. Elemen bandar seperti bangunan dan ruang bagaikan diatur dengan berpandukan prinsip-prinsip perancangan bandar. Rata-ratanya bandar-bandar kuala dibina pada sekitar kurun ke 18 dan pengaruh perancangan bandar yang dibawa masuk oleh penjajah mungkin mempengaruhi susunatur tapak bangunan. Pengaruh Islam juga tidak ketinggalan seperti negeri-negeri di bahagian Timur seperti Kelantan dan Trengganu telah menerima Islam semenjak kurun ke 13 lagi. Pengaruh Islam ini jelas dapat dilihat dengan pembinaan masjid sebagai mercu tanda utama pusat bandar. Masjid digunakan bukan sahaja untuk solat malahan sebagai kelas pengajian agama dan perbincangan hal-hal pentadbiran.

Jika ingin menyemak morforlogi bandar Melayu dengan elemen bandar Islam, ia adalah sesuatu yang ada asasnya kerana bukti-bukti pengaruh penerapan prinsip Islam sememangnya telah ada dalam konteks fizikal seperti pembinaan dan kesenian binaan masjid yang dibina sebagaimana seni bina Timur Tengah. Dari segi prinsip penentuan tapak rumah malahan istana, orang-orang Melayu sudah tahu dimana tata letak dan arah (axis) yang patut dipatuhi iaitu mengarah kiblat, begitu juga aturan elemen persekitaran seperti halaman (courtyard) seharusnya berada dihadapan, di sisi istana adalah masjid. Bermula dengan masjid yang menjadi titik (nodes) utama ia menjadi faktor kepada pembentukan rebakan elemen-elemen yang lain. Masjid menjadi elemen yang penting didalam bandar-bandar Islam, bukan hanya dari konteks ibadat malahan institusi masjid turut menjanakan aktiviti lain, samada dilaksanakan didalam bangunan seperti solat, aktiviti ilmu dan musyawarah, malahan disekitar masjid juga terdapat aktiviti yang aktif iaitu perniagaan. Dapat dilihat bandar-bandar Melayu awal turut terdapat elemen bazar perniagaan atau 'suq' seperti pada bandar Islam di negara Timur Tengah. Dari segi sejarah perkembangan Islam, di negeri Trengganu telah wujud kerajaan Melayu Islam pada kurun ke 14 begitu juga dengan negeri Kelantan dan negeri-negeri Melayu lain. Semasa ini juga telah berlaku asimilasi budaya dan prinsip Islam dan cara hidup masyarakat Melayu. Negeri Kelantan sendiri pada pemerintahan Sultan Mansur (1890-1899) telah menjadikan undang-undang dan hukum Islam sebagai asas pentadbiran kerajaan sehingga negeri ini dikenali sebagai Serambi Mekah.

Jika dilihat pada morforlogi bandar-bandar yang terletak di kuala ini seperti Kota Bharu, Alor Setar, Kuala Trengganu begitu juga Kuala Kangsar mempunyai kesamaan ciri-ciri georgrafi dari segi kedudukan di kuala sungai dan berkepentingan sebagai laluan perhubungan dan pengangkutan. Dengan kedudukan bandar yang hampir dengan kuala atau muara sungai, bandar Melayu ini juga disebut juga sebagai Bandar Kuala. Selain kawasan yang berdekatan sungai, kawasan dataran yang luas dan subur menggalakkan lagi perkembangan bandar bermula pembinaan istana raja yang memerintah. Konsep institusi raja sebagai agen pembentukan bandar memang terbukti dengan bangunan-bangunan utama dibina disekitar istana begitu juga elemen-elemen bandar yang lain dirancang dan diatur perletakannya dengan penuh makna seperti kawasan dataran (square) didepan istana yang berfungsi juga sebagai kawasan riadah rakyat, sambutan perayaan dan acara adat istiadat istana. Perkembangan bandar-bandar Melayu awal mempunyai perkembangan yang semakin menarik ketika penjajahan British. Perkembangannya lebih terpelihara dan menjadi sebahagian dari identiti sejarah yang masih meneruskan ‛hidup’nya sehingga abad ke 20. Pada masa kini bandar Melayu Awal ini juga dikenali sebagai bandar DiRaja kerana diasas dan dibuka oleh Sultan yang memerintah. Pekan, Kelang dan Kuala Kangsar antara contoh bandar DiRaja.

Daripada pemetaan sejarah ke atas dua buah Bandar Melayu; Alor Star dan Kota Bharu, morfologi ke dua-dua buah bandar ini, menunjuk ciri-ciri yang sama (seperti dirumuskan sebelum ini). Walaupun dari segi sejarah, tujuan atau sebab-sebab pembinaan kota atau bandar mungkin berbeza, Alor Star (Kota Setar) sememang diasas atau dirancang pembinaanya oleh Sultan yaang memeritah ketika itu (sekitar 1720 M) manakala Kota Bharu (1844), ialah kota ‘baru’ yang dibina selepas kota yang asal iaitu Kota Saba’ tenggelam akibat banjir besar. Namun apa yang menariknya kedua-dua bandar ini mempunyai signifikan yang sama dari aspek budaya membina kota khusunya dari aspek pemilihan tapak dan susunatur bandar, sedangkan beza usia kedua bandar ini hampir 100 tahun. Jelaslah disini, Sultan dan Raja Melayu dahulu sememangnya telah mempunyai pemikiran perancangan bandar dan sehingga pada masa kini, kawasan bandar awal ini masih relevan dalam konteks bandar yang semakin pesat. Kawasan bandar awal ini menjadi sebahagian elemen bandar yang penting. Sekelompok bangunan bersejarah yang masih kekal ini menjadi bukti fizikal sejarah yang terbesar. Kawasan ini pada masa kini dikenali sebagai kawasan pemuliharaan (conservation area). Kawasan ini bukan sahaja penting kepada pengekalan sejarah tetapi memberi kesinambungan rupa bandar yang menarik dari segi identiti dan imej kepada kedua-dua bandar tersebut.

PENGARUH KOLONIAL KE ATAS BENTUK BANDAR
Tujuan pembentangan bahagian ini ialah untuk melihat berbezaan dan pengaruh Kolonial dalam merancang bandar. Penjajahan barat telah memberi kesan dan pengaruh yang besar ke atas pembentukan bandar-bandar di Tanah Melayu pada awal kurun ke 15. Peninggalan Portugis, Belanda dan British memainkan peranan penting dari segi kesinambungan sejarah, perkembangan fizikal dan geografi rupa bandar. Bangunan-bangunan peninggalan barat atau lebih dikenali sebagai bangunan kolonial mempunyai gaya seni bina bangunan yang unik disamping susun letak bangunan yang membentuk morforlogi awal reka bentuk bandar. Selama 4 abad Tanah Melayu dijajah barat; Portugis, Belanda dan British telah merancang dan melaksana prinsip dan asas perancangan bandar mengikut cara masing-masing. Portugis membentuk Melaka sebagai sebuah bandar bertembok. Belanda dikatakan memulakan idea perancangan bandar di Melaka. Walaupun tiada catatan, namun peninggalan fizikal yang masih ada seperti Dataran Bandar (town square), gereja Christ dan bangunan Stadthuys.Berbanding dengan kota-kota Melayu dan bandar Melaka yang bentuk bandar adalah terkandung iaitu bertembok, bandar-bandar Melayu awal lebih menonjolkan bentuk bandar yang mempunyai ciri-ciri perbandaran. Istana sebagai pusat pemerintahan dibina berhadapan dengan kawasan lapang atau dataran yang luas. Berhampiran istana terdapat masjid, bangunan-bangunan pembesar, bangunan institusi pemerintah (bangunan kerajaan) seperti mahkamah dan pejabat tanah, pasar dan gudang-gudang perniagaan dan kediaman. Susunatur dan bentuk bandar bandar Melayu awal ini jika dibuat penelitian, ia nya seiring dengan rekabentuk bandar-bandar awal di Eropah. Ciri-ciri seperti churce square, market place, palace, square dan street diperkenalkan oleh Belanda semasa memerintah Melaka.

British merupakan penjajah barat yang paling berpengaruh dan meninggalkan warisan sejarah yang paling banyak di seluruh Malaysia. Penjajahan British bermula pada tahun 1786 hingga Malaysia merdeka pada tahun 1957. Petempatan British yang pertama adalah Pulau Pinang dan bermula dari sini, British telah telah meluaskan lagi jajahannya. Penjajahan British telah menerapkan kegiatan perancangan yang lebih teratur pada bandar-bandar yang dibuka bagi tujuan keperluan penduduk dan penjajah. Georgetown pada sekitar tahun 1800an merupakan bandar pertama yang mempunyai perancangan iaitu pembinaan jalan dan parit di sekitar bandar, termasuklah bangunan-bangunan institusi pentadbiran yang dirancang dengan teratur. Daripada bukti ini, penulis amat bersependapat dengan Ezrin Arbi (1986) bahawa sumbangan besar British ke atas perancang bandar hanyalah bermula di Pulau Piang iaitu 400 tahun selepas Melaka didirikan.

Dibawah pemerintahan Inggeris, pembukaan tanah dan pertumbuhan bandar kian pesat khususnya di bandar-bandar yang mempunyai kepentingan sumber bijih timah seperti di Ipoh, Taiping dan Kuala Lumpur. Selain bijih timah, penamaman getah secara besar-besaran juga merupakan faktor pembukaan tanah-tanah di negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu. Peningkatan ekonomi melalui bijih timah dan getah telah membantu kepada pembangunan infastruktur. Pada awal penemuan bijih timah, jalan-jalan perdagangan bahan ini adalah melalui sungai. Jalan keretapi mula dibina di Semenanjung Tanah Melayu pada tahun 1885, bermula dari Taiping ke Port Weld atau dikenali kini sebagai Kuala Sepetang. Jalan keretapi yang ke dua dibina pada tahun 1886, dari Kuala Lumpur ke Klang. Perkembangan infrastruktur lebih pesat awal kurun ke 19 apabila pembinaan jalanraya telah berkembang bagi menghubungkan kawasan pusat bandar dan kawasan perlombongan khususnya di sepanjang pantai barat Semenanjung. Senario yang berlaku ini menjadi faktor perkembangan pembangunan fizikal di bandar-bandar. Bandar-bandar semasa era penjajahan Inggeris diwarnai dengan bangunan-bangunan yang tersergam indah. Banyak bangunan-bangunan utama seperti pejabat pentadbiran, mahkamah, masjid, sekolah, stesen keretapi, balai polis dan gudang-gudang perniagaan dibina dengan gaya seni bina kolonial.

Pembukaan tanah yang intensif telah membawa masuk besar-besaran pendatang dari China dan India untuk bekerja sebagai pelombong dan penoreh. Penghijrahan penduduk khususnya dari negara China telah menyebabkan kepadatan penduduk meningkat dan konsep komuniti diwujudkan. Berlaku pemusatan dipusat bandar, rumah-rumah kedai dibina disepanjang jalan utama, tempat pekerjaan diwujudkan dipusat bandar dan aspek ini merupakan amalan yang dilaksanakan juga di negara asal penjajah semasa era itu. Gelombang revolusi industri dan kesan-kesan yang teruk ke atas kesihatan bandar telah mewujudkan pemikiran dan idea-idea perancangan. Idea-idea perancangan pada awalnya lebih bertujuan untuk mengatasi masalah-masalah yang wujud dikawasan industri melalui penyediaan kawasan kediaman pekerja yang lebih baik. Seterusnya idea-idea ini telah berkembang dalm bentuk konsep perbandaran yang ideal. Konsep perancangan Bandar Taman (Garden City) oleh Ebernezer Haward merupakan idea yang memberi sumbangan besar dalam perancangan bandar moden. Idea ini juga telah dibawa Inggeris ke Tanah Melayu dan telah mula diserapkan dalam amalan perancangan bandar pada ketika itu dan masih digunapakai sehingga kini. Permulaan idea ini dapat dilihat pada bandar Kuala Kubu Baru (Kamalruddin Shamsudin, 2006) seterusnya di perancangan bandar-bandar baru di Malaysia.

Berbalik semula kepada perbincangan bentuk bandar semasa pemerintahan Inggeris, ciri-ciri bentuk bandar yang dibangunkan oleh Inggeris boleh dibentangkan seperti berikut. Pusat utama adalah pejabat kerajaan yang terdiri daripada bangunan-bangunan besar. Bangunan-bangunan kerajaan mempunyai gaya seni bina yang hebat yang menonjolkan kekuasaan pemerintah. Antara bangunan-bangunan kerajaan dibina semasa kolonial seperti bangunan Sultan Abdul Samad (1897), bangunan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (1879) dan bangunan Majlis Perbandaran Taiping (1879). Berhadapan dengan bangunan kerajaan terdapat kawasan berumput atau disebut padang. Di padang biasanya dijalankan acara-acara rasmi seperti perbarisan tentera, majlis keramaian pemerintah dan aktiviti sukan khususnya sukan kriket dan bola sepak. Jauh sedikit dari padang kebiasaannya dibina rumah kelab (club). Selangor Club antara yang masih kekal pada hari ini. Rumah kelab ini digunakan oleh golongan bangsawan dan pegawai-pegawai British untuk berehat selepas bersukan. Di bahagian ke tiga padang pula terdapat gereja dan bahagian ke empat pula adalah kawasan perniagaan. Bangunan utama kawasan ini ialah bank-bank dan gedung-gedung perniagaan yang besar.

Melalui gambaran morforlogi bandar-bandar semasa pemerintahan British dapatlah dirumuskan pembentukan bandar adalah melalui susunatur bangunan-bangunan dan bukan pengkelasan gunatanah. Rekabentuk bandar semasa kolonial menurut Whelty dan Sandu (1983) adalah untuk membentuk suasana kuasa politik pemerintah melalui peraturan pentadbiran, kehebatan teknologi binaan dan organisasi sosial komuniti British, kesemua ini disatukan melalui persembahan seni bina bandar. Kuala Lumpur, Georgetown, Ipoh, Taiping, Johor Bharu, Seremban dan Kuching antara bandar-bandar yang mempunyai peninggalan ciri-ciri bentuk bandar dan seni bina kolonial British.

KESIMPULAN
Petempatan bandar-bandar di Semenanjung Tanah Melayu melalui sejarah yang panjang. Kedudukan geografi dan bentuknya telah menarik pengaruh-pengaruh luar dan memberi kesan yang penting dalam perkembangan perbandaran. Melalui zaman kegemilangan di seluruh kepulauan Melayu sehinggalah jatuh ke atas kuasa barat, Tanah Melayu hari ini kaya dengan warisan-warisan sejarah yang mampu menceritakan detik-detik kejayaan dan kehebatan Raja-raja Melayu begitulah juga detik-detik robohnya kota Melaka. Apa yang dapat didokumentasikan dalam kertas kerja ini merupakan satu warisan sejarah yang seharusnya terus terpelihara dan disebarkan kepada generasi kini dan akan datang. Kemegahan terhadap warisan kota dan bandar Melayu sepatutnya lebih ditonjolkan dan keperihatinan yang lebih juga patut diberikan kepada program pemuliharaan warisan kota dan bandar Melayu kerana apa yang masih ada ini merupakan bukti kekal warisan budaya Melayu kita.

RUJUKAN
A Ghafar Ahmad, (1997). British Colonial Architecture in Malaysia 1800-1930, Kuala Lumpur: Persatuan Muzium Malaysia
A. Samad Said, ed., (2003). Sulalatus Salatin: Sejarah Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Abdul Aziz Deraman (1989). Kelantan dalam Perspektif Sosio Budaya, Kota Bharu: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.
Abdul Halim Nasir.(1993). Kota-kota Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Cheah, B.K., ed. (2001). Early Modern History (1800-1940), Kuala Lumpur: Archipilago press
Chen V.C.,ed., (1998). The Encyclopedia Malaysian Architecture, Kuala Lumpur: Archipilago press
Ezrin Arbi, (1986). Petempatan Serta Bandar-bandar Awal di Tanah Semenanjung, Monograf Pusat Sumber Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Maalaysia, tidak diterbitkan.
Keong, K.J. (2004). “Kota Bharu” in Heritage Asia, Vol.1 No.4, ms.47-51
Kerajaan Negeri Melaka. (2001). Melaka Historic Tourism, Melaka: Kerajaan Negeri Melaka
Moore, W.K. (2004). Malaysia: a Pictorial History 1400-2004, Kuala Lumpur: New Strait Time Press
Mumford, L. (1966). The City in History, London: Sector & Warbury
Nik Mohamed Nik Mohd. Salleh, (1984). Warisan Kelantan III Kota Bharu: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan
Raiha Mohd Saud, (1981), Kota-kota Bersejarah di Semenanjung Malaysia, Kuala Lumpur: Jabatan Muzium dan Antikuti Malaysia
Siti Norlizaiha Harun (2007). Pemetaan Morforlogi Bandar Melayu Awal Era Kolonial Menggunakan GIS, Penyelidikan Geran Institut Peradaban Melayu, UPSI (Tidak diterbit)
Siti Norlizaiha Harun (2004).“Perbandaran Islam : Pengaruh Ke Atas Bandar Awal Di Malaysia” kertas kerja dibentangkan di Seminar Kontemporari UiTM Perak, Kampus Sri Iskandar, 23 Februari 2004
Siti Norlizaiha Harun, (1995). Pemuliharaan dan Pembangunan Bandar yang Berterusan: Kajian Kes Kota Bahru, Kelantan. Tesis Sarjana Sains, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. (Tidak diterbit)
Verhoeven, F.R.J., (1964). ”The Lost Archives of Dutch Malacca 1641-1824” dalam Journal of The Malaysian Branch, Vol.XXXVII, m.s. 11-27
Whealtley, P. dan Sandhu, K.S. (1983). The Transformation of A Malay Capital c.1400-1980, Institute of Southeasts Asian Studies, Kuala Lumpur: Oxford Press

Wednesday, 19 August 2009

KONSERVASI GENTING BUMBUNG

16-17 OGOS 2009, BENGKEL KONSERVASI (GENTING BUMBUNG) anjuran Jabatan Warisan Negara, bertempat di Pulau Pinang

Ini merupakan bengkel konservasi siri ke 3 selepas Konservasi Kayu dan Pelepa. Setiap bengkel mempunyai manafaat dan perolehan ilmu yang amat berguna. Banyak ilmu dan kefahaman sebenar dapat diketahui berkenaan teknik dan kaedah pemuliharaan bangunan warisan khususnya pemuliharaan bahan yang asal. Kayu, pelepa dinding dan genting bumbung merupakan bahan dan struktur asas yang perlu dikenali, difahami dan disayangi didalam kerja-kerja pemuliharaan dan pengekalan bangunan warisan.






Pada bengkel kali ini, peserta diberi kefahaman berkenaan jenis genting, bahan asal, kaedah pemuliharaan dan teknik pemasangan. Jenis bahan genting yang digunakan pada bangunan bersejarah ialah dari bahan tanah liat atau lebih dikenali sebagai "terra-cota roof". Terdapat tiga bentuk genting iaitu genting cina dengan bentuk 'U' dan "V", genting "senggora" yang biasa terdapat pada rumah Melayu dan genting "marsailes" yang banyak digunakan pada bangunan kolonial. Paling menarik ialah genting atap senggora. Bentuk genting ini dikatakan berasas dari bentuk sisik ikan, malah ada berpendapat dari sisik naga. Atap senggora berasal dari Songkla, Thailand. Pada sekitar tahun sebelum merdeka, industri dan pemakaian atap senggora pada bumbung rumah-rumah melayu dan bangunan awam memang banyak. Namun apabila zink dan abestos diperkenalkan pada tahun 1940an, industri atap senggora semakin luput. Di Malaysia pada ketika ini hanya terdapat sebuah industri tradisi atap senggora iaitu di Bachok, Kelantan.








Prinsip kerja pemuliharaan yang paling penting ialah "Keaslian' atau 'authenticity". Menurut piagam antarabangsa seperti ICOMOS dan panduan keaslian ICCROM, pengembalian yang asal termasuklah dari segi reka bentuk bahan, bahan binaan termasuk warna dan tekstur, teknik pertukangan dan teknik susun letak. Adalah amat penting memahami prinsip keaslian dan sejarah berbanding memulihara atas tujuan estatik semata-mata. Kita melihat keistimewaan yang ada pada bangunan warisan bukan dari segi sejarah dan peristiwa tetapi yang menjadi nilai utama dalam pemuliharaan warisan ialah bagaimana mengembalikan sejarah dari segi bentuk dan rupa. Tujuan utama ialah mewariskan harta warisan kepada generasi akan datang. Ia bukan sahaja "apa" yang telah dipulihara tetapi "ilmu" yang terokai disebalik kerja-kerja pemuliharaan. Ilmu yang mengenalkan kita kepada budaya, seni, tradisi, kepercayaan dan ragam kerja tukang-tukang dahulu. Oleh itu sebelum sebarang keputusan dan sentuhan merosak ke atas bangunan lama, pastikan kita "mengenali" dahulu bangunan bersejarah.

Tuesday, 11 August 2009

TANAH SERENDAH SEKEBUN BUNGA

Pengkalan Sabak, 8/8/09. Setiap kali balik ke KB, banyak perkara menarik dan luar jangka dapat dilihat. Tak sangka dapat panggilan telefon dari Mazeri, ada yang menarik di Pengkalan Sabak. Persatuan pelukis Kelantan (PESENI) sedang membuat aktiviti melukis. Sayang sekali saya sampai agak lewat, walaupun kecewa tak dapat melihat aktiviti dan lukisan, namun masih ada yang begitu menarik untuk dirakam. Suasana di pengakalan dipenuhi sampan yang baru menurunkan hasil laut. Seumur hidup, inilah pertama kali dapat merasai suasana perkampungan nelayan.InsyaAllah lepas Romadhan ni PESENI akan berkarya di Pantai Geting pulak.








Pasar Siti Khadijah, 8/8/09. Berpagi lagi saya dipaksa Mak ikut ke pasar. Selalunya begitu malas tapi kali ini rasa nak pergi pulak. Memang segar mata bila melihat warna sayuran dan buah-buahan dipangkin. Sempat rakam gambar, peniaga daging melapah lembu. Asalnya tak nak ikut tapi bila dah merayap dengan kamera, lambat pulak nak keluar dari pasar. Memang unik suasana dan tradisi berniaga di pasar Siti Khadijah ni.