Saturday 4 July 2009

PEMULIHARAAN MASJID LAMA KEDAI MULONG

Mengembalikan Warisan dan Tradisi



Semalam, saya dapat jemputan ke majlis perasmian Masjid Lama Kedai Mulong, Kelantan (5 Julai 09). Sayang tak dapat pergi kerana kuliah di UiTM bermula esok. Tahniah diucapkan kepada Jabaan Warisan Negara Malaysia dan Kontraktor Asli Bina Jaya. Walaupun tidak terlibat dengan projek ini tetapi saya mengikuti perkembangannya dan setiap kali balik kampung saya akan singgah untuk melihat masjid ini. Terima kasih kepada Shaari, Nadia dan Hamdan yang sudi berkongsi pengalaman dan menerima pandangan kecil dari saya setiap kali menjenguk masjid ini.






Projek konservasi ini amat menarik kerana dapat mengembalikan semula bentuk asal bangunan dari segi seni bina dan bahan binaan. Memang menakjubkan kerana berbanding dengan bangunan asal yang telah dicat tebal dan berbumbung asbestos, bangunan yang dipulihara semula ini telah menampilkan seni bina Melayu yang begitu hebat dan mempesonakan. Siapa sangka dewan utama masjid ini asalnya sebuah balairung seri.

Masjid Lama Kedai Mulong ini merupakan ‘Balairung Seri Raja Dewa’ (1944). Asalnya istana ini terletak dibelakang Bangunan UMNO Kota Bharu (sekarang). Bangunan ini dibina sekitar 1900an semasa pemerintahan Sultan Muhamad ke IV sebagai rumah kediaman Tun Zainal Abidin (Raja Dewa 1897-1945). Bangunan ini telah dibugarkan pada sekitar 1958 dan balai utama istana (kediaman) ini telah buka secara gotong royong, diangkut dan dipindahkan ke tanah wakaf Tuan Haji Abdul Rahman Haji Ismail (Ayah Su) di Lot 495, Kampung Surau Lama Kedai Mulong di KM 11 Jalan Kuala Krai, Kota Bharu. Kerja-kerja mendirikan masjid dengan struktur asal balairung seri siap pada akhir Disember 1958. Keluasan Bangunan Masjid Lama ini adalah 20’x60’ dikekalkan sebagaimana asal. Binaannya mempunyai 16 tiang (saiz 10”x10”) pada bahagian tepi bangunan dan tanpa tiang seri. Terdapat ukiran pada setiap tiang masjid. Panel corak ‘Janda Berhias’ menghiasi dinding masjid. Di bahagian laluan angin pula dikelilingi jejala bercorak geometri bermotif bunga. Manakala bahagian siling pula dihiasi buah butong.






Projek pemuliharaan Masjid Kedai Mulong ini amat mementingkan keaslian seni bina termasuklah kaedah binaan. Semua teknik dan kaedah konservasi diteliti terlebih dahulu dan aspek yang paling penting ialah sejarah dan dokumentasi.

Tak sabar nak tengok Masjid Lama Kampung Kuala Dal, Kuala Kangsar siap!!!

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.