SIRI WACANA KUTAI 4
AUTHENTICITY IN CONSERVATION
Oleh:
DR. SITI NORLIZAIHA HARUN
Lead Researcher
Center for Knowledge & Understanding
of Tropical Architecture & Interior (KUTAI)
UiTM Perak
23 OCTOBER 2009
Email: norliharun@gmail.com
Blog: http//:kota-city.blogspot.com
Alhamdulillah, Jumaat lepas saya dapat memberi syarahan penyelidik bagi memenuhi slot aktiviti KUTAI. Sebagai Ketua Penyelidik dan terlibat dengan kerja-kerja perundingan pemuliharaab warisan, adalah perlu untuk berkongsi pengalaman dan menyalurkan ilmu kepada rakan pensyarah dan para pelajar. Saya memilih tajuk "Authenticity atau Keaslian" memandangkan isu ini sering dibangkitkan samada diperingkat awal projek sehinggalah bangunan siap dipulihara. Persoalan yang sering ditanyakan kepada saya...yang asal seperti ini ke? betul ke rupanya macam ni?...
Asasnya dalam pemuliharaan bangunan warisan, objek atau bangunan warisan mesti dipulihara seperti keadaan yang asal. Keaslian bukan hanya pada skop pengembalian fizikal sahaja tapi apa yang paling penting adalah emosi, memori dan sense yang terhasil apabila bangunan dipulihara semula. Kita cuba berada dalam transformasi masa dari mula bangunan dibina,terbayang di minda suasana ketika itu dengan kerja-kerja tukangnya, bahannya dan susanana disetiap ruang. Penentuan keaslian selalunya dibangkitkan dengan sejarah dan kisah-kisah setempat sama ada pada bangunan atau masyarakat dan persekitarannya.
Apabila saya memulakan kerjaya sebagai konservator bangunan, perkara pertama yang diajar oleh guru saya, Profesor A Ghafar ialah..."anda perlu merasai rumah itu sebagaimana anda pernah mendudukinya satu ketika dulu?.."anda perlu mencari sejarah dan kisah...anda perlu berbicara dengan bangunan, dengan kayu, batu, pelepa dan semua komponen baangunan kerana dari situ anda mengenali tukang, menngenali masa dan akhirnya dapat membuat hipotesis masa silam bangunan dan anda tidak keliru untuk mengembalikan semula sejarah walau ditampal, disambung, diganti, ditokok dan dirawat dengan sejarah baru kerana yang asal tetap boleh bercakap melalui emosi dan sense.
Bagaimana menentukan keaslian? Pertimbangan atau keputusan praktis saya sebagai seorang konservator bangunan adalah dari segi sejarah, reka bentuk dan bahan asal. Namun menjadi persoalannya, pada masa kini "sejarah" juga boleh berubah disebabkan keperluan fungsi dan keperluan pemilik. Ini tidak dapat dielakkan namun keaslian yang asas iaitu Tampak atau fasad bangunan tidak boleh diubah langsung. Ia mestilah kekal seperti asal walaupun fungsi dan ruang berubah.
Petikan dari syarahan saya
Perbincangan tentang konsep pemuliharaan perlu dikaitkan dengan istilah dan maksud pemuliharaan. Daripada perbincangan sebelum ini dapat dirumuskan pemuliharaan lebih merupakan satu tindakan atau aktiviti yang berkaitan dengan kerja-kerja membaiki kerosakan dan penjagaan bangunan bersejarah. Namun apakah bentuk atau konsep sebenar kerja pemuliharaan yang dikehendaki? Perdebatan-perdebatan berkenaan konsep sebenar kerja pemuliharaan bangunan ini telah tercetus semenjak abad ke 17 lagi. Bermula dengan pandangan ekstrim oleh John Ruskin (1819-1900), yang menentang konsep pengembalian semula atau restorasi (restoration) ke atas pengekalan bangunan. Konsep tersebut kemudiannya digantikan dengan perkataan pemuliharaan (conservation) (Jokilehto, 1996).
Pandangan Ruskin yang dianggap sebagai satu isu yang penuh kontroversi telah membuka minda masyarakat ketika itu terhadap penghargaan dan tanggungjawab yang sebenar untuk memulihara bangunan. Beliau menganggap tiada bezanya di antara restorasi dan merosakkan bangunan, kerana kedua-dua tindakan tersebut akan memusnahkan bangunan. Ruskin mengenengahkan konsep kejujuran di dalam kerja-kerja mengubahsuai bangunan kerana menurut beliau bangunan adalah fakta sejarah yang perlu dikekalkan dan tidak boleh ada pemalsuan ke atas bangunan tersebut (Erder, 1986).
Kritikan berasas oleh Ruskin ini banyak ditujukan ke atas kerja-kerja membaik pulih bangunan-bangunan gereja dan bangunan bersejarah pada era tersebut. Beliau juga telah memperkenalkan konsep kecantikan sesebuah bangunan adalah bergantung kepada pengekalan perletakan (setting) pada kedudukannya yang asal. Di sini beliau memperluaskan maksud pemuliharaan bukan sahaja pada bangunan tetapi tapak tanah bangunan dan kawasan sekitarnya. Melalui idea ini, ia bukan sahaja dapat mewujudkan satu suasana harmoni antara yang lama dengan yang baru tetapi memastikan penerusan (continuity) dengan alam sekitar.
Idea-idea Ruskin ini juga telah banyak mempengaruhi gerakan pemuliharaan ketika itu terutamanya William Morris yang telah menubuhkan persatuan “The Society for the Protection of Ancient Building” atau SPAB pada 1877. Persatuan ini merupakan persatuan pemuliharaan bangunan bersejarah yang pertama di Britain. Persatuan ini bertujuan untuk melindungi bangunan-bangunan Zaman Pertengahan atau Medieval dan kemudiannya telah berubah kepada perlindungan bangunan-bangunan lama keseluruhannya di Britain. Morris telah memetik pandangan Ruskin bahawa ‘no question of expediency of feeling wheater we shall preserve buildings of past times or not. We have no right whatever to touch them. They are not ours. The belong, partly to those who built them, and partly to all generations of mankind who are to follow us’, dalam SPAB Manifesto (Pickard, 1997).
Menurut Morris, sesiapa yang cuba membaik pulih rupa asal bangunan dan mengakibatkan kehilangan elemen tertentu pada bangunan telah bertanggungjawab ke atas ketidakaslian bangunan dan secara tidak langsung mengwujudkan pemalsuan pada objek (Erder, 1986). Perdebatan yang berusia lebih dari 100 tahun ini menjadi teras dan justifikasi kepada konsep pemuliharaan yang sebenar. Young (1991), menekankan konsep sebenar pemuliharaan ialah mengekalkan ketulinan atau keaslian. Warisan perlu dipulihara dengan keasliannya yang sebenar iaitu sebagaimana bukti sejarah yang ada kerana ia merupakan sebahagian daripada bahan-bahan dokumentasi yang membolehkan hipotesis berkenaan masa lampau dapat dilakukan.
Keaslian bukanlah satu konsep yang mudah yang mana setiap bahagian pada bangunan besejarah mempunyai hak-hak keasliannya tersendiri, walaupun bukan lagi seperti pada keadaan era ia dibina. Di sini terdapat kekeliruan mengenai perbezaan maksud ketulinan (originality) dan keaslian (authenticity) kerana kedua-duanya tidak semestinya dalam kes-kes tertentu mempunyai maksud yang sama. Menurut Bell (1997), fabrik yang tulin (original) adalah asli tetapi tidak semua fabrik yang asli (authentic) adalah tulin.
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan “authenticity”. Perkataan ‘authenticity’sebenarnya datang dari perkataan Greek, ‘authentikos’ yang bermaksud ‘genuine’ atau ketulinan yang sejati. Menurut Fielden (1994), keaslian sebenarnya adalah aspek yang agak sukar dalam penilaian sesuatu sumber warisan kerana bangunan sejarah mempunyai usia dan akan berubah mengikut peredaran masa. Oleh kerana itu, keaslian boleh atau lebih mudah difahami mengikut pandangan yang berbeza bergantung kepada keistimewaan sejarah bangunan. Walau bagaimanapun keaslian boleh terancam dengan perubahan sejarah yang merosakkan seperti penggantian bahan yang lebih baru atau moden, atau penambahan elemen-elemen baru. Berpandukan kepada Garispanduan ICCROM (International Centre for Study on Preservation and Restoration of Cultural Property) terdapat empat aspek/kriteria keaslian yang perlu dipertimbangkan dan dipraktiskan bagi mengekalkan warisan sejarah (Fielden dan Jokilehto, 1993):
i. Keaslian dalam bahan (material)
Keaslian bahan merupakan aspek yang paling utama. Bahan binaan dianggap nilai penting pada bangunan kerana ia telah membawa bersama nilai sejarah masa lepas. Dalam bahan binaan ini terkandung bukti-bukti mengenai ilmu yang telah tiada, gubahan idea dan keunggulan bangunan.
ii. Keaslian dalam rekabentuk (design)
Setiap bangunan lama mempunyai sejarah perkembangan pembinaan. Bangunan yang masih kekal pada masa kini telah melalui pelbagai perubahan pada binaan mengikut era dan penghuni yang mendiaminya. Dalam keadaan ini konsep keaslian akan menjadi bertambah sukar kerana untuk menentukan rekabentuk yang sebenar di samping memastikan dan memilih era apakah bangunan patut dipulihara perlu dikaji dengan teliti. Bagi pemuliharaan rekabentuk, adalah perlu untuk mengkaji struktur asal bangunan, gaya seni bina dan hubungan bangunan dengan persekitaran.
iii. Keaslian dalam kerja binaan/tukang (workmanship)
Bangunan bersejarah mempunyai keunikan dari segi kerja binaan atau pertukangan tukang-tukang pada zaman dahulu. Kesenian kerja binaan mestilah dikekalkan dan sebarang pemuliharaan dan pembaikan pada bahan yang rosak ukiran atau hilang bahagian penyambungan mestilah dipulihara dengan bahan yang asal juga mengikut teknik kerja pertukangan yang tradisional. Kerja-kerja membaik pulih kerosakan mestilah menghasilkan bentuk yang harmoni diantara yang asal dengan yang baru.
iv. Keaslian dalam susun atur (setting)
Bentuk bangunan dan kedudukan bangunan termasuklah susun atur kawasan dan ruang dalaman bangunan mestilah dikekalkan seperti yang asal. Keaslian pada bentuk dan susun atur bangunan dapat menstrukturkan gambaran sebenar berkenaan bentuk bangunan dan mengaitkannya dengan peristiwa-peristiwa sejarah yang dialami. Biasanya keaslian bentuk dan susun letak ini diperolehi selepas penyelidikan arkeologi.
Daripada perbincangan ini, konsep pemuliharaan bolehlah dinyatakan sebagai satu usaha mengembalikan interpretasi nilai fizikal bangunan seperti keadaannya yang asal.
Bagaimana konsep keaslian dapat dipraktiskan dalam pemuliharaan bangunan adalah sesuatu yang mungkin sukar atau ada yang mengganggapnya mudah. Memang tidak dapat dinafikan terdapat masalah untuk mengembalikan keaslian. Keaslian boleh dianggap sebagai satu aspek estetik manakala proses untuk mengembalikannya adalah perkara etika (Warren, 1996). Dalam konteks pemuliharaan bangunan bersejarah, aspek yang paling penting adalah etika berbanding estetika. Oleh yang demikian dalam pemuliharaan, kecantikan bukan menjadi ukuran tetapi bagaimana mengembalikan bangunan seperti yang asal.
Konsep keaslian juga boleh dipraktikkan melalui kaedah kerja dan pengetahuan membina bangunan. Nilai keaslian melalui pengetahuan membina bangunan ini dapat dilihat pada masyarakat Jepun yang mana mereka amat menitik beratkan keaslian ilmu pengetahuan membina bangunan selain pengekalan fizikal bangunan seperti yang asal (Larsen dan Marstein, 2000). Kerja-kerja pemuliharaan di Jepun dilakukan di sepanjang masa, ia bergantung pada tahap kerosakan yang dihadapi. Ini disebabkan kebanyakan bangunan bersejarah di Jepun adalah kuil atau pagoda yang diperbuat daripada kayu, ia sentiasa melalui proses kerosakan disebabkan faktor – faktor semula jadi seperti cuaca dan gempa bumi (Mat Nasir Baba, 2000). Prinsip kerja pemuliharaan bangunan di Jepun amat mementingkan rasa hormat dan keaslian, antaranya:
1. Semua kerja pemuliharaan sesebuah bangunan hendaklah mengikut keadaan asal pembinaan bangunan. Sama ada dari segi gaya binaan dan bahan yang digunakan. Tidak dibenarkan sebarang perubahan dilakukan. Bagaimanapun dalam hal-hal tertentu terutamanya di bahagian yang tidak kelihatan seperti di bawah lantai, di bahagian atap, penambahan beberapa bahan baru boleh dilakukan bagi tujuan mengukuhkan kekuatan kayu tersebut.
2. Suatu tapak monumen bersejarah biasanya mempunyai pertalian sejarah dengan tapak dan suasana sekelilingnya. Dalam apa keadaan pun, monumen tersebut tidak sekali dibenarkan untuk membinanya semula ditempat baru.
3. Bangunan-bangunan yang telah mengalami perubahan semasa digunakan hendaklah dikekalkan pada tahap terakhir ia digunakan. Bagaimana pun, sekiranya terdapat bukti kukuh keadaan asal bangunan, seperti pelan asal atau kedudukan bukti-bukti lain, maka kerja pemuliharaan perlu mengikut yang asal. Segala tambahan atau perubahan hendaklah ditanggalkan.
4. Semua skim warna, sama ada di luar atau di dalam mestilah dikekalkan. Di Jepun walau pun bangunan telah beberapa kali di buat restorasi, skim warnanya tetap sama. Keadaan ini telah berlarutan selama 13 abad dan ia telah dapat memberi gambaran yang jelas pada setiap era.
5. Apabila kerja-kerja pemuliharaan dibuat, satu pelan berskala akan dilukis. Ini merangkumi sebelum dan sesudah pemuliharaan. Pelan ini hendaklah merangkumi pelan lantai, pandangan dan juga keratan rentas. Semua pelan ini akan dihantar ke Jabatan Pendidikan berserta laporan dan foto kerja untuk disimpan dengan selamat.
Daripada contoh prinsip kerja pemuliharaan di Jepun ini jelaslah keaslian adalah aspek atau teras utama dalam kerja-kerja pemuliharaan bangunan. Konsep ini menepati kehendak atau tujuan pengekalan sesebuah bangunan bersejarah iaitu untuk mengekalkan bangunan atau monumen sepertimana keadaannya yang asal. Melalui konsep ini, salah satu penemuan penting yang diperolehi adalah dari segi falsafah di sebalik konsep kerja itu sendiri iaitu ia cuba menggambar atau melihat bangunan-bangunan bersejarah pada masa kini (semasa jumpaan) sebagaimana masa lalu iaitu pada masa mula-mula ia dibina.
Tuesday, 27 October 2009
Thursday, 22 October 2009
Tapak Arkeologi Gua Cha dan Biodiversiti Penempatan Orang Asli Temiar, Gua Musang
Monday, 12 October 2009
Sunday, 4 October 2009
Subscribe to:
Posts (Atom)