PENYESUAIGUNAAN SEMULA (ADAPTIVE RE-USE): Membawa Tradisi Merentas Masa
Penyesuaigunaan semula atau adaptive re-use merupakan salah satu pendekatan dalam pemuliharaan (conservation) selain pengekalan (preservation), pengembalian semula (restoration) dan pembinaan semula (reconstruction). Berbeza dengan ke empat-empat pendekatan utama pemuliharaan, penyesuaigunaan semula bermaksud kepada pertukaran fungsi atau aktiviti asal bangunan kepada aktiviti baru yang lebih menjana ekonomi. Program seperti ini banyak dapat dilihat di dua buah bandaraya bersejarah, Melaka dan Georgetown, Pulau Pinang. Bangunan-bangunan bersejarah yang terabai atau tidak aktif lagi telah ditukar guna kepada fungsi baru dengan perubahan reka bentuk dalaman yang bersesuaian dengan tema dan fungsi baru seperti restoran, galeri, butik dan muzium.
Perjalanan kembara kota warisan pada awal Jun lalu diakhiri dengan lawatan ke beberapa buah bangunan rumah kedai lama di Jalan Jonker, Melaka. Rumah-rumah kedai di jalan ini masih mengekalkan fasad asal tetapi aktiviti telah ditukar guna semula kepada kedai barangan antik, restoran, galeri, butik, hotel dan muzium. Peluang tinggal di hotel Puri, suatu pengalaman pembelajaran yang menarik kerana kami dapat melihat pelestarian warisan di setiap ruang-ruang hotel.
Paling menarik ialah menikmati “suasana” di kedai cendol. Memang jarang-jarang dapat mengalami suasana kedai lama seperti ini. Berbeza dengan konsep kopitiam yang agak seragam dari segi perabut dan perkakasan makan minum. Kedai ini begitu sederhana dan asli (natural), berjaya menimbulkan “memori”, “pengalaman”, “perasaan” dan “penceritaan”. Semuanya ditampilkan melalui pengekalan ruang dan bahan asal, suasana diterjemahkan melalui pergerakan masuk ke ruang-ruang. Transisi suasana dibezakan dengan hiasan dinding dan pencahayaan. Ruang terakhir bakal meninggalkan memori melalui bingkai-bingkai gambar foto lama menjadikan sudut atau ruang ini ada penceritaan yang lekat sebagai memori. Suasana di kedai cendol ini mengambalikan ingatan aku pada kedai “bakso lela” di Bandung. Tak lah sedap pun baksonya tetapi yang mahalnya adalah “membayar suasana nusantara”. Konsep “membayar suasana” salah satu idea yang penting dalam penyesuaigunaan semula khususnya dalam menata ruang kepada fungsi baru.
Banyak idea penyelidikan berkenaan reka bentuk dalaman timbul dan hebat dibincangkan ketika menikmati cendol. Shaari menanyakan soalan-soalan yang membuatkan Min dan aku memerah otak untuk menjawab.
Apapun banyak perkara yang boleh kami timba melalui pengalaman beliau dalam bidang konservasi. Jawapan aku mudah saja, kepada arkitek dan pereka bentuk dalaman, fahami dahulu prinsip dan etika konservasi. Konservasi adalah aktiviti mengekalkan warisan, mengembali masa lalu yang berharga untuk masa kini, membawa bersama tradisi dan suasana ketika itu.
Saturday, 27 June 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.