BALIK KAMPUNG: Merayap Lagi ke Gertak Lembu Salor dan Kampung Dalam Tumpat
Seperti biasa setiap kali balik ke Kampung Kota, Aku merancang untuk merayap ke kampung. Pagi lagi aku dah mengambil Azira di Ketereh terus ke Masjid Kedai Mulong. Sementara menunggu Shaari sampai kami melihat bangunan Masjid Kedai Mulong yang dah siap dipulihara. Memang cantik dan hebat seni bina masjid ini. Bangunan asal masjid ini adalah Balairung Seri Raja Dewa (1900) yang terletak di Kota Bharu, kemudian pada sekitar 1958, bangunan telah dirombak dan dipindahkan ke Kedai Mulong dan dijadikan masjid. Tahniah pada Tn Hj Shaari, kontraktor projek ini.
Setelah selesai berbincang dan mengambil gambar, kami beransur ke Salor. Gertak Lembu atau Jambatan Lembu terletak di kampung Salor. Ada sesuatu yang menarik di kampung ini. Perkisahan sejarah menyatakan tempat ini tempat berkotanya Raja Salor dan di lembah sungai (padang) yang luas dijadikan tempat berlaga lembu dan permainan rakyat. Kali pertama aku pergi selepas diberitahu oleh Dato’ Adi Taha dan Shaari. Kebetulan pula Dr. Zulkifli orang Kampung Salor, banyak lagi kisah-kisah Raja Salor diceritakan, semuanya ada dalam blog beliau.
Pertama kali ke Gertak Salor, aku memandu bersama emak dan Abah tapi hilang arah kerana banyak jalan mati. Alhamdulillah perjalanan kali ini Shaari yang bawa, itu pun sesat beberapa kali kerana banyak sangat lorong hendak ke lembah sungai. Akhirnya aku mengambil keputusan ke Kedai Salor, teringat rumah Dr. Zul disitu mungkin ada yang boleh membantu. Aku dah maklum ayah beliau di KL jadi aku meminta bantuan Tok Penggawa untuk menunjuk arah ke Makam Raja Salor. Sayangnya kami dimaklumkan jalan masuk ke makam dah semakin sukar kerana semak dan belukar tebal. Walaupun tidak berpuas hati, tapi ada yang lebih menarik untuk dilihat iaitu perkampungan dan seni bina rumah penduduk Cina di Salor. Terdapat sebuah tokong Cina Kuan Kong dan lebih kurang 5 buah rumah Cina yang terletak di tebingan sungai. Walau pun struktur asal banyak yang berubah tetapi ciri-ciri senibina seperti bentuk bumbung panjang, pelantar , dinding dan bukaan masuk ke rumah masih lagi kekal.
Selepas makan tengahari, Shaari beriya-iya mengajak aku dan Azira untuk melihat rumah tradisi penduduk berketerunan Siam di Tumpat pula, cuma aku tak sangka rumah-rumah ini berada dalam kawasan Kok atau Ketik Siam, panggilan orang Kelantan. Ini kali pertama aku masuk ke kawasan ketik, berbanding Azira yang dibesarkan dipersekitaran ini. Wah memang hebat seni bina rumah tradisi Siam. Tak sempat nak mencari sumber dan bahan seni bina, cukuplah dengan paparan gambar-gambar ini.
Tuesday, 23 June 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.