31 Mei 2009: Kuala Pahang – Rompin – Mersing
Lepas sarapan pagi, kami terus ke Kuala Pahang. Kuala Pahang terletak 2 km dari Pekan. Kuala Pahang merupakan sebuah perkampungan nelayan yang terletak di muara Sungai Pahang. Pemanduan di sepanjang jalan ke Kuala Pahang begitu menenangkan kerana pemandangan kampung begitu indah. Pokok-pokok kelapa dan nipah menjadi lanskap utama memandangkan kampung ini berhampiran dengan muara. Masuk saja ke kampung kami mula menjerit. Kami disambut oleh lembu-lembu yang berkeliaran disepanjang jalan, kerbau-kerbau berkubang dan rumah-rumah yang masih mengekalkan ciri seni bina Pahang. Aktiviti nelayan di jeti juga menarik perhatian seperti membersih bot dan paling aku suka tengok nelayan bermain dam.
Puas menatap pemandangan bot-bot nelayan yang mudik di pengkalan jeti Kuala Pahang, kami beransur bergerak ke Rompin. Perjalanan dari Rompin ke Mersing melalui kampung-kampung nelayan yang begitu indah pemandangannya. Cuaca disepanjang perjalanan begitu panas. Hawa pantai membakar kulit setiap kali aku keluar untuk mengambil gambar landskap persisir pantai. Kami bertiga cuba menyusun lirik lagu lama dalam cerita Hang Tuah...
Dari Melaka ke negeri Pahang,
singgah di Johor beli berangan,
Kami ucapkan selamatlah datang,
Apa yang kurang dicaci jangan.
Melenggang Hai
Melenggang dengan tari lenggang
kalau baik hati
Nanti orang pun sayang ....
Saya lah ini Bang oii dagang merantau
Mengharap belas orang di sini
Melenggang Hai
Melenggang dengan tari lenggang
kalau baik hati
Nanti orang pun sayang ....
Negeri Pahang aman sentosa
Kaya dengan tumbuh tumbuhan
Niat dihati Bang oii
Nak buat jasa
Mudah-mudahan Tuhan kabulkan
Sepanjang perjalanan kami menyanyikan lagu ini dan bercerita kisah dalam filem Hang Tuah, tentang kostum dan watak. Memang puas hati dan syukur dapat ke Kuala Pahang, seolah-olah sedang masuk ke masa silam zaman Laksamana Hang Tuah ketika melarikan Tun Teja. Sememangnya, hamper dengan Sungai Pahang terdapat banyak pulau, salah satu daripadanya disebut Pulau Teja kerana disitulah tempat istana Tun Teja iaitu anak Bendahara Pahang yang sangat jelita, gah masyur hingga ke Melaka. Dalam Sejarah Melayu ada menyebutkan Tun Teja telah dapat dilarikan ke Melaka oleh Laksanmana Hang Nadim, lalu diperisterikan oleh Sultan Mahmud Shah.
Sehinggalah hampir ke Mersing lagu mula bertukar kepada gurindam dalam filem Seri Mersing pulak. Azira meminati filem arwah Nordin Ahmad...jadi mulalah dia bergurindam.
Kajang Pak Malau Kajang berlipat
Kajang hamba mengkuang lalu
Dagang Pak Malau Dagang bertempat
Dagang hamba musafir lalu
Perkampungan nelayan di Nenasi. Cantiknya tak dapat digambarkan....Syukur ke hadrat Allah kami dapat melihat bumi NYA yang indah ini.
Mersing dan Rompin di pisahkan dengan sungai. Kawasan ini dikenali juga sebagai Tanjung Gemuk. Marina Tanjung Gemuk dan jambatan ke Mersing.
Di Mersing kami tinggal di hotel Seri Malaysia. Mersing sebuah bandar yang menarik. Terdapat banyak potensi dari segi landskap semulajadi, budaya dan bangunan. Komposisi ini menjadi jiwa atau ‘sense’ yang paling istimewa kepada Mersing. Mersing juga pintu masuk atau pengkalan untuk ke Pulau Tioman. Faktor sumber-sumber yang ada ini menjadikan Mersing sebuah bandar pelancongan kecil yang agak sibuk tapi nyaman dan berkarektor. Aku mula terpikir dan idea muncul untuk buat projek studio ‘sense of place’ next time di Mersing pulak. Mersing ada pantai, sungai, perkampung nelayan, bangunan lama, aktiviti penduduk, elemen bandar dan kawasan pelancongan yang santai.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.