Monday, 9 November 2009

JURNAL WARISAN

JURNAL WARISAN


Alhamdulillah, untuk tugasan semester ini pelajar Pengajian Warisan, UMK telah menyumbangkan satu usaha dan tugasan yang menarik. Memeriksa hasil jurnal yang dipersembahkan dalam bentuk slaid dan video begitu menawan sekali hasilnya. Matlamat projek Jurnal Warisan adalah untuk mencari, meneroka dan menghayati "makna" warisan yang terdapat di solok kampung, hulu dan hilir, di sumur dan sawah sehinggalah dilautan. Warisan bermaksud apa-apa yang ditinggalkan atau sesuatu yang dapat diwarisi kepada generasi masa kini. Warisan bukan hanya sesuatu yang fizikal (tangible) malahan yang bukan nyata(intangible) seperti budaya dan tradisi masyarakat.

Persembahan jurnal warisan yang dihasilkan pelajar bukan sahaja hanya satu tugasan tetapi ia telah memberi satu informasi yang boleh dikongsi, sesuatu yang kita tidak menduga ada di sesabuah kampung. Dipersembahkan dengan perspektif dan pandangan yang pelbagai. Ada secara dokumentasi akademik, ada yang penuh puitis, ada berbentuk pengembaraan dan catatan perjalanan memori (travelog) yang saya amat berharap akan menjadi kenangan dan ilmu yang bermanafaat kepada para pelajar.

Perjalanan Nurmala dan kumpulan ke Mambong,Kuala Krai begitu mendebarkan, berkolek sampan sehinggalah ke tempat dituju. Kegiatan tradisi membuat seramik di Mambong merupakan satu-satunya pembuatan tradisonal yang tertua di Kelantan. Warisan ini perlu dipulihara kerana cara pembuatan dan penghasilan seramik yang unik.



Jurnal ke Pantai Sabak menjadi pilihan ramai pelajar. Ilani dan rakan mempersembahkan senario perkampungan di Pantai Sabak manakala Yazid dan pasukannya membedah badai menyorot pengalaman nelayan ke laut.




Perkampungan tradisi di pantai timur seperti Kelantan dan Trengganu banyak melibatkan aktiviti tradisi berasaskan sumber laut. Di Seberang Takir, Trengganu, aktiviti seperti membuat keropok lekor, belacan dan ikan kering begitu menarik dan unik. Paparan yang dapat dilihat bukan sahaja kepada penghasilan produk, apa yang istimewa ialah ciri-ciri perkampungan, masyarakat dan landskap begitu asli dan semulajadi.



Hafiz, Zehaiza dan Alif meneroka alam primitif, asli, simbolik dan animisma di Pulau Carey. Setiap rumah yang dibina mempunyai ‘panggar’ iaitu tempat dimana masyarakat orang asli menyembah Tuhan mereka. Ritual dan kehidupan tradisi masih lagi menjadi amalan kaum asli Mah-meri.




Banyak lagi paparan menarik jurnal warisan yang ingin diceritakan terutamanya senario dan pemandangan kampun tradisi di negeri selatan tanah akhir. Di harap semester hadapan pelajar-pelajar dapat menghasilkan tugasan lebih baik lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.