Tuesday, 26 January 2010

Pemuliharaan kawasan @ revitilisasi bandar: Concubine Street Ipoh

Kuliah/artikel kali ini saya akan membincangkan berkenaan pemuliharaan kawasan. Dalam bandar bukan sahaja ada bangunan tetapi pelbagai entiti yang mewajahkan sesabuah bandar. Kalau kawasan baru bukanlah sesuatu yang sukar untuk diperindahkan tetapi bagi kawasan lama dan bersejarah, kita akan 'tersekat' dengan ciri-ciri setempat (genius loci)yang terbahagi dua; pertama karektor bangunan dan corak bandar, kedua; ciri-ciri budaya yang masih utuh. Kedua-duanya merupakan identiti kukuh dari segi sejarah dan budaya kawasan. Sesuatu perlu dibuat bagi memastikan kawasan bersejarah didalam bandar terus terpelihara, bagaimana?





Pengekalan bangunan dan kawasan bersejarah didalam bandar amat penting khususnya kepada kawasan yang mempunyai potensi imej dan tarikan bandar. Bangunan dan kawasan bersejarah dapat 1) memberi pengalaman sejarah dan budaya tempat kepada pemerhati, 2) Penonjolan identiti dan menimbulkan ‘sense’ terhadap tempat dan 3)Transformasi gaya seni bina lama keatas binaan baru disekitarnya

Salah satu pendekatan pemuliharaan bandar (urban conservation) ialah ‘revitalisasi’. Agak sukar untuk mencari perkataan yang sesuai, saya menggunakan istilah yang digunakan di Indonesia. Namun maksud yang lebih jelas ialah; “revitalisasi” adalah usaha untuk menghidupkan sesebuah kawasan atau bahagian bandar yang suatu masa dulunya pernah hidup (vital) tetapi kemudiannya mengalami kemunduran.

Apa pula bezanya pemuliharaan dan revitalisasi? Pemuliharaan adalah satu proses penjagaan, perawatan dan pengekalan warisan termasuklah mengembalikan semula (restoration) dan dengan pendekatan revitalisasi, kawasan bersejarah/budaya akan menjadi lebih hidup, bermakna dengan wajah baru tanpa merubah identiti asal atau sejarah kawasan. Konsep revilisasi secara tidak lansung menolak pandangan bahawa pemuliharaan bandar dianggap sesuatu romantism masa lalu. Sebenarnya pemuliharaan kawasan/bandar merupakan satu proses perubahan kepada penjagaan alam sekitar dan ianya tidak terbatas hanya dengan maksud fizikal tetapi merangkumi kebudayaan sesebuah kawasan. Pemuliharaan merupakan suatu kaedah untuk mengolah satu bentuk transformasi fizikal dan revitalisasi kawasan. Usaha ini bertujuan untuk memberikan satu kualiti kehidupan mayarakat yang lebih baik berdasarkan kekuatan aset lama dan melaksanakan program-program yang menarik dan kreatif, berterusan serta melibatkan penyertaan masyarakat dengan mengambil kira peningkatan ekonomi kawasan.

Revitalisasi bukanlah sesuatu yang hanya berorentasikan pada keindahan fizikal sahaja tetapi mesti dilengkapi dengan peningkatan ekonomi masyarakat serta pengenalan budaya yang ada. Proses revitalisasi sesebuah kawasan mencakupi berbagai aspek fizikal, ekonomi, dan sosial budaya Pendekatan revitalisasi mestilah mampu mengenalpasti dan memanafaatkan potensi dari sumber-sumber persekitaran seperti sejarah, makna, keunikan lokasi dan imej tempat. Ia bukanlah sekadar pembaikan fizikal atau menyolek bahagian-bahagian di dalam bandar. Revitalisasi merupakan sebuah program berlanjutan mulai tahap-tahap awal sehinggalah kepada satu program jangka panjang yang melibatkan pengurusan kawasan tersebut.

Revitalisasi berkait dengan usaha untuk membangun dan menaikkan semangat masyarakat tempatan, bagi membentuk satu nadi kehidupan yang sihat, yang mampu memberikan keuntungan dari segi sosial budaya dan ekonomi masyarakatnya. Untuk itu, aplikasi dan pembangunan kawasan dengan kaedah/teknologi moden, pengurusan dan suasana kehidupan yang diciptakan dikawasan itu haruslah dari pemikiran/idea yang komprehensif. Program revitalisasi dilaksanakan dengan tujuan untuk memudarkan kemerosotan kawasan, menonjolkan imej kawasan yang terpelihara menawarkan penerokaan alam budaya dan memastikan kawasan sentiasa hidup dan berkembang maju. Dalam konteks fabric bandar (urban fabrics), antara kaedah yang boleh dilaksanakan ialah:
•Menyesuaikan rupa bangunan baru mengikut karektor bangunan lama dari segi gaya senibina dan ketinggian supaya tidak wujud kejanggalan
•Mengawal fasad atau rupa hadapan bangunan supaya tidak menutup ciri asal
•Menyesuaikan bahan binaan dengan bahan binaan yang sama dari segi bentuk, warna dan tekstur
•Merekabentuk elemen bandar seperti perabut jalan, papan tanda dan landskap bersesuaian dengan imej kawasan bersejarah
•Mengekalkan ciri-ciri setempat dan mengujudkan suasana

Saya memberi satu 'projek' untuk pelajar amati dan beri idea bagaimana untuk memulihara dan meningkatkan kawasan ini sebagai salah satu kawasan 'rangkaian sejarah', heritage trail dalam bandaraya Ipoh: Concubine Street? Apa special pada nama dan kawasan ini?

Wednesday, 20 January 2010

LAWATAN 1 - PENGAJIAN WARISAN

Kepada pelajar Warisan, selamat tahun baru ( masih belum terlambat...Februari belum tiba). Semester ini kelas pemuliharaan warisan agak aman dengan 42 pelajar berbanding semester lepas. Teringat lawatan pertama, ke projek konservasi Kedai Mulong, Kota Bharu. Pelajar begitu semangat dan teruja, nmun hujung semester entah kemana semuanya. Saya terkejut dengan respon dan komen pelajar ke atas wajah 'bill board' jurnal. Nampak gayanya ramai yang tak puas hati, tetapi saya melihat setiap orang ada keberanian, alangkah baik interaksi sebegini lebih banyak didalam kelas. Kepada pelajar senior selamat menyiapkan tesis.







Friday, 15 January 2010

Nailan


Lama tak merayap dan menulis. Masa kat pasar borong wakaf che yeh jumpa student Warisan, terutama Nailan dan Duan. Teringat gambar Nailan jadi model kat bill board di aiport KB.

Thursday, 24 December 2009

Seminar Architectural Identity of the East Cost Regions, 23 December 2009, Universiti Malaysia Kelantan

Seminar ini merupakan antara seminar yang paling succes yang pernah saya hadiri. Dengan bilangan peserta yang minimum, kertas kerja yang menarik dan moderator yang hebat telah memntapkan lagi pengisian seminar disamping dapat mencapai hasrat pennganjur seminar, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan mencari wahana yang boleh dijadikan panduan untuk perancangan penubuhan program Seni Bina. Tiga kertas kerja dibentangkan oleh Prof Madya Dr. Syed Ahmad Iskandar Syed Ariffin (UTM),AR. Mastor Surat (UKM) dan Prof Madya Dr. Nik Ismail Azlan(UiTM). Moderator yang hebat, Prof Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah (UM) pula sentiasa melontar sindiran yang berhakikat dan logik difikirkan. Topik seminar membincangkan krisis dan pencarian identiti senibina Malaysia. Memfokuskan sejarah dan pengaruh senibina semasa, semua pembentang dan moderator khususnya telah membuka satu perspektif dan pandangan yang telus dan amat berani terhadap senario semasa senibina dan rupa bandar Malaysia. Kejanggalan, cedokan barat, ledakan idea dan pengaruh teknologi, peminggiran senibina tradisional dan pemalsuan identiti mewarnai perbincangan dan percambahan minda sepanjang seminar sehari ini. Seminar ini dihadiri oleh ahli akademik, profesional, pelajar, kontraktor dan kalangan artisan seperti pelukis dan pengukir. Banyak ilmu diperolehi dan paling istimewa adalah penerokaan khazanah maksud pertukangan kayu rumah tradisi. Syabas kepada UMK, semoga seminar ini akan diadakan lagi. Terima kasih kepada lauk pauk yang dihidang, nasi kerabu dan laksam memang paling enak.





Thursday, 17 December 2009

MAJLIS PENYERAHAN MASJID LAMA KG KUALA DAL


Alhamdulillah hari ini 17 Disember 2009 hari akhir 1430 Hijrah, masjid lama Kg Kuala Dal atau Masjid Ehsaniah Iskandariah telah siap dan diserahkan kepada pemilik bangunan, khariah dan jawatankuasa masjid Al-Wahidiah. Majlis ini telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya Warisan Malaysia, Prof Emeritus Dato' Zuraina Majid. Dengan penyerahan ini, telah sempurnalah sebuah lagi projek warisan di bawah Jabatan Warisan Negara Malaysia. Masjid ini yang dulunya uzur kini semakin gemilang rupannya. Kuning warnanya, bersegi bentuknya dan indah anyaman kelarainya.

Saya tumpang berbangga, kerana ini merupakan salah satu projek yang paling berjaya yang telah saya kendalikan. Sebagai Konservator Bangunan, banyak ilmu yang telah saya perolehi melalui projek ini. Jika sebelum ini saya lebih banyak terlibat dengan bangunan kolonial, kali ini cabaran yang diberi adalah lebih memokuskan kepada usaha untuk mendapatkan bahan dinding kelarai. Selama hampir 7 bulan masjid ini dapat disiapkan dan dalam tempoh itu setiap minggu saya akan menjenguk masjid ini. Satu kepuasan dan rahmat tidak terhingga diberi Allah swt apabila melihat bangunan ini dapat dikembalikan semula. Semoga kehebatan bangunan ini akan bergandingan dengan syiar Islam yang akan berputik semula dalam bangunan ini kelak. Semoga segala usaha oleh pihak terlibat akan mendapat keberkatan Allah swt.